Misi Kemanusiaan UMNO Ke Palestin Tunggu Lampu Hijau Masuk Ke Gaza

CAIRO, 27 Jun – Peranan Malaysia membantu rakyat Palestine lebih menyerlah apabila Misi Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza yang diketuai oleh pendakwah Ebit Liew, sudah pun mendapat kebenaran memasuki Gaza pada awal pagi hari ini.

Kebenaran masuk pasukan berkenaan, dikatakan atas bantuan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Pasukan berkenaan bergerak masuk pada jam 11:15 pagi waktu Kuala Lumpur (6:15 pagi waktu Cairo) menuju Semenanjung Sinai dan seterusnya Gaza pada jam 8 malam waktu Kuala Lumpur.

Beberapa lagi pasukan bantuan, termasuk Misi Kemanusiaan Palestine Humanitarian For Palestine (HM4P) yang diketuai oleh Datuk Seri Abdul Azeez Rahim, Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia, bagaimana pun masih ternanti-nanti kelulusan untuk masuk ke Gaza.

Anggota misi HM4P yang tiba di Cairo sejak Selasa lepas, perlu menunggu lebih lama lagi. Misi berkenaan membawa bantuan peralatan ortopedik untuk mangsa kekejaman Zionis di Gaza, selain membantu mencari jalan bagi membangunkan semula penempatan rakyat Palestine.

Seorang anggota Misi Kemanusiaan UMNO, Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid berkata, mereka mendoakan semoga pasukan bantuan kemanusiaan Ebit Liew, yang menunggu sejak sebulan lalu untuk masuk, dapat menyeberang masuk menyampaikan bantuan dengan jaya dan kembali dengan selamat.

Pada masa sama, kami meminta seluruh rakyat Malaysia dan ahli UMNO, mendoakan agar kami dapat masuk ke Gaza tanpa masalah dan balik semula ke Cairo dengan selamat, kata beliau.

Beliau juga berharap Wisma Putra dan Kementerian Luar dapat membantu untuk melancarkan proses kelulusan agar harapan ahli UMNO, rakyat Malaysia untuk membantu rakyat Palestine dapat direalisasikan menjadi kenyataan.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.