Fasa Pertama PPN Dikekalkan Sehingga Tiga Indikator Nilai Ambang Utama Dicapai

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dikekalkan sehingga tiga indikator nilai ambang utama dicapai, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata indikator itu ialah purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.

Ismail Sabri berkata peralihan fasa pertama ke fasa kedua akan mengambil kira ketiga-tiga indikator sebelum ia diputuskan.

“Berdasarkan penilaian risiko yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan akan mengekalkan lagi tempoh fasa pertama di seluruh negara.

“Ia mengambil kira situasi semasa ketika ini yang masih belum berjaya untuk beralih dari fasa pertama ke fasa kedua apabila graf jumlah kes positif baharu harian menunjukkan trend mendatar,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri turut mengumumkan waktu operasi premis menjual makanan bermula 6 pagi hingga 10 malam berkuat kuasa esok setelah mengambil kira rayuan dan pandangan pengusaha kedai makan.

Ketika ini, operasi melibatkan premis kedai makan dan restoran hanya dibenarkan bermula 8 pagi hingga 8 malam.

Beliau juga menjelaskan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 masih diguna pakai dalam fasa pertama PPN dengan semua aktiviti sosial dan ekonomi tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor perlu dalam senarai positif yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.