Usah Salahkan Satu Sama Lain, Mari Bersatu Tangani COVID-19

JOHOR BAHRU, 25 Jun – Semua pihak diminta tidak menyalahkan satu sama lain atas alasan gagal mengawal penularan COVID-19 di negara ini.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, sebaliknya semua pihak perlu terus bersatu hati dalam memastikan usaha memutuskan rantaian pandemik COVID-19 berjaya dicapai.

Menurutnya, dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19, Kerajaan Negeri giat memperkukuhkan gandingan sumber manusia, fasiliti dan logistik bagi melancarkan lagi Program Imunisasi COVID Kebangsaan (PICK).

“Usaha berkenaan tidak akan mencapai matlamatnya jika kita semua tidak memperkukuhkan lagi ukhuwah dan kerjasama bagi menyokong program imunisasi negara.

“Marilah kita bersatu hati, melawan musuh yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Usahlah kita menyalahkan satu sama lain atas alasan gagal mengawal pandemik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Johor Istiqamah Bermunajat Menangani COVID-19 yang diadakan secara maya menerusi laman Facebook rasmi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), di sini malam tadi.

YAB Menteri Besar bersama-sama barisan Exco serta pegawai kerajaan sentiasa komited untuk memastikan seluruh rakyat Johor dapat meneruskan kelangsungan hidup walaupun dilanda pandemik COVID-19.

“Baru-baru ini, Kerajaan Negeri telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 berjumlah RM241 juta yang mengandungi 33 inisiatif.

“Kesemua inisiatif tersebut bertujuan untuk meringankan beban kos sara hidup, menambah sumber pendapatan sektor yang terjejas, sekali gus memulihkan kelangsungan ekonomi Johor,” katanya. – Makmur Johor

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.