Tiada Rancangan Jual Aset Lapangan Terbang Termasuk LTSAAS – MoF

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Kerajaan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menjual mana-mana aset atau hartanah lapangan terbang di Malaysia, termasuk Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) kepada mana-mana pihak.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan (MoF) turut menegaskan bahawa ini berikutan hartanah terbabit juga dianggap sebagai aset strategik kerajaan.

Menurutnya, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) masih memiliki pajakan selama 60 tahun iaitu sehingga 2067 ke atas tanah dan lokasi LTSAAS pada masa ini.

LTSAAS juga merupakan salah satu daripada 39 lapangan terbang di bawah kendalian MAHB selaras dengan perjanjian operasi antaranya dengan kerajaan yang dimeterai pada 2009, jelas kementerian itu.

“MAHB bukan pemilik mana-mana hartanah lapangan terbang tersebut. Setakat ini, MAHB masih merupakan pihak yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan aset sekitar LTSAAS.

“Sebahagian tanah LTSAAS telah dipajakkan oleh MAHB kepada Subang Skypark Sdn Bhd bagi tempoh 30 tahun (2007-2037), merangkumi pengendalian Terminal 3, tempat letak kereta dan ‘hangarage’ (hangar dan tempat simpanan).

“Sebarang usaha untuk memaksimumkan nilai aset LTSAAS tidak akan melibatkan penjualan hartanah,” katanya.

Kenyataan MoF itu sebagai mengulas spekulasi mengenai penjualan LTSAAS yang sebaliknya disifatkan oleh kementerian tersebut sebagai berita palsu.

Sehubungan itu, ia menasihatkan agar semua pihak tidak menyebarkan berita palsu dan spekulasi mengenainya, malah kerajaan tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya ke atas pihak yang berbuat demikian.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Kementerian Pengangkutan menegaskan bahawa Jemaah Menteri tidak membuat sebarang keputusan untuk meluluskan sebarang cadangan melibatkan penjualan mana-mana bahagian LTSAAS kepada sektor swasta sepertimana didakwa oleh pihak tertentu.

Menurutnya, sepertimana kenyataan kementerian bertarikh 7 Mei, 2021, kerajaan tidak dapat menghalang pihak luar daripada mengemukakan kertas cadangan bagi pembangunan semula projek sedia ada atau memajukan aset baharu.

Selain itu, hak pengoperasian serta hak lain MAHB di bawah Perjanjian Pajakan bagi mengendali, mengurus serta menyelenggara termasuk menduduki, menggunakan dan mengawal LTSAAS adalah kekal masing-masing sehingga 2034 dan 2067, katanya.

“MAHB bertanggungjawab untuk membangunkan LTSAAS sebagai hab aeroangkasa antarabangsa sebagaimana keputusan Jemaah Menteri pada 2 Mac, 2005. Tiada sebarang keputusan diambil bagi mengubah syarat tersebut,” katanya.

Pada masa sama, kementerian itu juga mengambil maklum dan mengulangi bahawa usaha serta perbincangan sewajarnya diperlukan sebelum sebarang keputusan muktamad diambil membabitkan aset awam strategik awam yang turut membabitkan kepentingan rakyat seperti LTSAAS.

“Orang ramai juga digesa agar menghentikan perbuatan menyebar maklumat salah mengenai perkara itu atau berdepan tindakan yang boleh diambil terhadap pihak tidak bertanggungjawab,” katanya. – BERNAMA