Pahang Lulus Cadangan Rizab 510.6 Hektar Tanah Buat Orang Asli Di Lipis

KUANTAN, 25 Jun – Kerajaan Pahang meluluskan cadangan merizabkan 510.6 hektar tanah bagi masyarakat Orang Asli Kampung Pantos di Lipis, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata ia bertujuan untuk dijadikan sebahagian daripada tapak projek ekonomi baharu bagi Orang Asli di situ, termasuk cadangan menanam pokok durian bermutu tinggi yang diusahakan bersama syarikat milik kerajaan negeri dan swasta.

“Manfaat terus yang akan diperoleh oleh Orang Asli di kawasan ini berupa dividen atau keuntungan daripada kerjasama berkenaan.

“Kelulusan ini dilihat akan memberi manfaat serampang dua mata kepada penduduk di situ, iaitu aspek jaminan kawasan penempatan dan projek ekonomi,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Buat masa ini, Wan Rosdy memaklumkan terdapat 1,940 orang daripada 352 keluarga menetap di kawasan yang bakal dirizabkan itu dan antara tanaman yang diusahakan mereka ialah kelapa sawit serta getah.

Projek tanaman itu diusahakan bersama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dengan masyarakat Orang Asli terlibat menerima dividen hasil tanaman mereka. – BERNAMA