MAHB Akan Terus Perkukuh Industri Penerbangan – Dr Zambry

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Pengumuman mengenai aset lapangan terbang oleh kerajaan telah meningkatkan komitmen kami untuk terus menyumbang ke arah mencapai aspirasi negara dan mengukuhkan industri penerbangan Malaysia, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yakin aspirasi itu dapat dicapai dengan kejayaan pelaksanaan pelan pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS atau Lapangan Terbang Subang) yang telah dirangka dan akan memastikan LTSAAS kekal sebagai aset nasional yang strategik.

“Bagi pihak MAHB dan seluruh tenaga kerjanya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan, khususnya kepada Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Pengangkutan atas kenyataan terkini yang membenarkan MAHB kekal sebagai pengendali LTSAAS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Awal hari ini, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk menjual mana-mana aset lapangan terbang di Malaysia termasuk LTSAAS kepada mana-mana pihak berikutan hartanah lapangan terbang dianggap sebagai aset strategik kerajaan.

MoF turut memaklumkan bahawa MAHB masih memiliki pajakan selama 60 tahun iaitu sehingga 2067 ke atas tanah yang terletaknya LTSAAS.

Katanya LTSAAS merupakan antara 39 lapangan terbang di bawah pengurusan MAHB selaras dengan perjanjian operasi yang dimeterai antara kerajaan dan MAHB pada 2009. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.