PKPD Di Tujuh Lokaliti Termasuk Lima Di Sabah Mulai Sabtu Ini – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di lima lokaliti di Sabah dan dua di Kedah mulai Sabtu ini (26 Jun) sehingga 9 Julai, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata di Sabah lokaliti terlibat ialah Kampung Muhibbah, Menggatal di Kota Kinabalu; Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan (Tawau); Kampung Kuala Merotai (Kalabakan); Kampung Tahak, Membakut (Beaufort) dan Flat Indah Jaya (Sandakan).

Di Kedah pula, PKPD membabitkan Politeknik Sultanah Bahiyah di Kulim dan Kawasan Perindustrian Bestgrade di Pokok Sena.

“Pelaksanaan PKPD dapat membantu Kementerian Kesihatan (KKM) membendung jangkitan dari lokaliti ke kawasan lain dan memudahkan pemantauan ke atas penghuni yang dikuarantin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beberapa lokaliti PKPD di Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Negeri Sembilan ditamatkan mengikut jadual dan lebih awal daripada yang dijadualkan berikutan terdapat penurunan kes dengan kluster yang terkawal selain semua kes positif telah menerima rawatan.

PKPD yang ditamatkan esok mengikut jadual ialah di Kampung Tajin, Kuala Berang, Terengganu;  Taman Temerloh Jaya, Taman Temerloh Jaya Indah dan Taman Temerloh Makmur di Temerloh (Pahang); Ladang Tereh Mill, Kluang (Johor) dan Kampung Kolong 2, Kuching di Sarawak.

Lokaliti PKPD yang turut ditamatkan esok namun lebih awal daripada jadual ialah Kampung Lakai, Jelebu, Negeri Sembilan (dijadual tamat 27 Jun) serta Rumah Panjang Bala anak Umba, Rumah Panjang Tulu anak Sli, Rumah Panjang Duah anak Entingi, Rumah Panjang Balik anak Gema, Sekolah Kebangsaan (SK) St Luke dan Klinik Kesihatan Nanga Baoh (dijadual tamat 4 Julai) di Mukah, Sarawak.

Mengenai operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP, Ismail Sabri memaklumkan seramai 761 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam dengan 741 daripadanya dikompaun, 19 direman manakala seorang lagi dijamin.

“Sementara Op Benteng bagi tempoh sama, seramai 14 pendatang tanpa Izin ditangkap selain enam kenderaan darat di rampas,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.