Pembiayaan Bagi Pertumbuhan Hijau Perlu Disusun Semula – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Malaysia berharap dapat menyaksikan perubahan pemikiran mengenai pelepasan karbon dan bagaimana menggalakkan amalan rendah karbon untuk memacu pertumbuhan hijau global dalam era pasca COVID-19, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Bercakap pada Persidangan Peringkat Tinggi Asia dan Pasifik mengenai Kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang diadakan secara dalam talian pada Rabu, beliau berkata penting bagi negara rakan kongsi untuk membentuk semula pendekatan yang diambil selepas pembiayaan ditumpukan untuk pemulihan COVID-19.

“Memberi tumpuan kepada wabak COVID-19 tidak bermakna kita boleh membiarkan ‘bola jatuh di kawasan lain’

“Sekarang kita mesti bermula semula dan bersedia ke arah tenaga hijau, prasarana dan pembiayaan bagi memastikan pemulihan ekonomi secara mampan, menjelang sidang kemuncak perubahan iklim COP26 di Glasgow, Scotland, pada November,” katanya.

Sehubungan itu Hishammuddin berkata, Malaysia kini bersedia dan sanggup berkongsi kepakaran dalam kewangan Islam, yang dirasakan semakin mampu memainkan peranan dalam menjana pertumbuhan hijau global serta ke arah pembangunan infrastruktur.

Katanya, pada 2017, Malaysia adalah negara pertama dunia yang melancarkan instrumen iklim kewangan baru iaitu bond Islamik yang dikenali sebagai sukuk hijau, dengan perolehannya digunakan untuk membiayai projek prasarana alam sekitar mampan.

“Yang terbaharu adalah pada April lalu apabila Malaysia berjaya mengumpul US$1.3 bilion menerusi ‘Sukuk Kelastrian’, yang pertama diperkenalkan di dunia.

“Keyakinan pelabur terhadap instrumen ini amat memberangsang apabila terlebih langgan sebanyak 6.4 kali,” katanya.

Hishammuddin berkata, Kuala Lumpur menempatkan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (ISFB), sebuah organisasi penanda aras antarabangsa bagi sektor yang semakin berkembang ini.

Mengenai COVID-19, Hishammuddin menggesa kerjasama lebih erat daripada negara kongsi BRI bagi memastikan semua negara mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi.

“Ketika negara kaya di sebelah Utara Dunia memiliki keistimewaan untuk menimbun stok vaksin, jumlah berlipat kali ganda berbanding jumlah penduduk, negara di Selatan Dunia terpaksa bergelut. Tapi perlu diingat, kita akan selamat apabila semua selamat,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.