Akibat Total Lockdown Suam-Suam Kuku, Perniagaan Dan Ekonomi Terjejas Secara Drastik – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menguar-uarkan ekonomi semakin baik, tetapi mereka yang terlibat dalam kitaran ekonomi kata sebaliknya, kata Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ini kerana katanya, daripada peniaga kecil, peniaga besar, kapten industri sehingga kepada penganalisis ekonomi terkesan.

“Siapa yang betul? Mana satu yang betul? Kerajaan PN yang betul atau mereka ini yang betul? Rakyat dibawah kena tahu betul-betul.

“Total lockdown suam-suam kuku bermula 1 Jun lalu dilapor sedang menjejaskan perniagaan dan ekonomi secara drastik.

“Sehingga mereka merayu supaya kerajaan PN lebih bijaksana dalam meneliti data COVID-19 berdasarkan sektor ekonomi dan lokaliti,” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebook.

Tegas Ahmad Zahid lagi, malah dilaporkan 30 peratus pasar raya telah ditutup dan 300,000 kakitangannya hilang pekerjaan sejak 16 bulan yang lalu.

“Apapun ini keluhan mereka yang terlibat secara langsung dalam sektor ekonomi negara, dalam bidang perniagaan.

“Maka ‘pleaselah’ kerajaan PN sila bersikap telus dan jujur, ramai sedang merasai impak buruk ekonomi,” tegasnya lagi.

Seterusnya tambah Ahmad Zahid lagi, arahkan bank beri moratorium automatik secara pukal dengan segera kerana setiap kelompok anggota masyarakat perlukan bantuan itu.

Persoalannya, jika bukan kepada kerajaan mereka berharap kepada siapa lagi mereka boleh merayu agar permintaan dipenuhi?

“Segala keputusan dan kuasa ditangan kerajaan PN. Segala jentera pentadbiran, kewangan negara dibawah kerajaan PN.

“Jika masih dibawah kerajaan BN Insya-Allah perkara ini jauh lebih mudah untuk diuruskan,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.