Vaksinasi Di Negeri Sembilan Jangka Capai 80 Peratus Oktober Ini Dengan 20,000 Dos Sehari

SEREMBAN, 22 Jun – Pemvaksinan ke atas 80 peratus daripada 849,400 penduduk Negeri Sembilan yang layak menerima vaksin dijangka selesai pada Oktober ini dengan 20,000 dos vaksin disuntik setiap hari bermula bulan depan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata negeri ini dijadualkan menerima sebanyak 600,000 vaksin pada bulan depan dengan penambahan pusat pemberian vaksin (PPV) termasuk PPV industri.

Katanya PPV industri di Negeri Sembilan melibatkan dua lokasi di D’Tempat Country Club Sendayan dan D’Cattleya Senawang yang membabitkan 46 kilang dengan keseluruhan 15,000 pekerja menerusi Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) COVID-19.

“Memandangkan Negeri Sembilan berdepan gelombang penularan kes COVID-19 yang tinggi, dengan kes jangkitan kluster tempat kerja semakin meningkat, beberapa strategi diambil untuk meningkatkan program vaksinasi di sini.

“Ketika ini kadar vaksinasi harian adalah 7,000 dos sehari, jadi dengan 20,000 dos vaksin sehari, ia satu peningkatan yang besar,” katanya pada sidang media Pasca Mesyuarat Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) bersama Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun di Wisma Negeri di sini.

Mengulas lanjut mengenai PPV industri, Khairy berkata kapasiti harian vaksinasi adalah 1,500 sehari yang akan dilaksanakan bermula hujung bulan ini dan turut dipertimbangkan pembukaan PPV seumpama itu di Rembau dan Port Dickson.

Terdahulu Khairy ketika meninjau PPV di Kompleks Islam Rantau di sini, berkata pihaknya telah meluluskan sebuah lagi PPV di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau dengan jumlah 1,000 dos sehari pada bulan depan.

Sementara itu mengenai status pemberian vaksin kepada petugas kurier dan penghantar makanan, beliau berkata mereka juga akan menerima vaksin berkenaan pada bulan depan.

Mengenai syor penggunaan vaksin jenis Pfizer Biontech untuk golongan remaja yang dibuat Jawatankuasa Expert Working Group, beliau berkata perkara itu akan diumumkan pada Khamis ini.

Sementara itu Aminuddin berkata seramai 612,217 penduduk di negeri ini telah mendaftar bagi program imunisasi kebangsaan dengan 139,342 individu mendapat suntikan dos pertama dan 74,142 telah lengkap suntikan dua dos vaksin setakat semalam. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.