267 Graduan Perubatan Daripada 36 Institusi Boleh Daftar Penempatan Latihan Hari Ini

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Sejumlah 267 graduan perubatan yang telah diberi Surat Layak Daftar oleh Majlis Perubatan Malaysia (MPM) boleh mendaftar dalam sistem e-Housemen dan membuat pemilihan penempatan latihan siswazah masing-masing bermula hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dalam kenyataan hari ini berkata satu notifikasi telah dikeluarkan menerusi e-mel kepada graduan perubatan berkenaan semalam bagi membolehkan mereka membuat pendaftaran dalam sistem itu.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil perhatian serius berhubung isu yang dihadapi oleh sebahagian graduan perubatan yang telah diberi Surat Layak Daftar oleh MPM, namun penempatan latihan siswazah terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.

“Dalam hal ini, mana-mana graduan daripada sejumlah 267 orang graduan perubatan tersebut yang belum menerima notifikasi e-mel, bolehlah memaklumkan segera kepada urusetia menerusi alamat e-mel [email protected]. untuk dibantu sewajarnya,” katanya.

Sebelum ini, permohonan penempatan latihan siswazah bagi 267 graduan perubatan daripada 36 institusi di dalam dan luar negara ditangguhkan berikutan MPM mengesan ada perbezaan nama kelayakan dan/atau nama institusi pada skrol ijazah asas perubatan berbanding yang diwartakan dalam Jadual Kedua Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

Perbezaan itu menyebabkan MPM tidak dapat mengeluarkan Sijil Pendaftaran Sementara hingga perkara itu diselesaikan.

Bagaimanapun, berdasarkan perkembangan terkini setelah MPM merujuk pandangan perundangan, Sijil Pendaftaran Sementara boleh dikeluarkan kepada graduan perubatan terlibat. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.