Kadar Jangkitan COVID-19 Masih Tinggi, Mampukah Ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara? – Azhari Shaari

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari meluahkan kebimbangan beliau dengan kes jangkitan baharu COVID-19 yang masih mencatatkan trend meninggi.

Katanya, ini kerana berdasarkan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan kerajaan baru-baru ini kadar jangkitan perlu mencatatkan paras 4,000 kes ke bawah untuk masuk ke fasa kedua.

“Hari ini kes harian telah mencatatkan sebanyak 4,611 kes. Kelihatan masih sukar untuk menurunkan kes ke paras 4,000 kebawah dalam masa kurang dari 9 hari, doakan agar kita berjaya.

“Bagi saya untuk beralih ke fasa kedua pada bulan Julai ini agak sukar dengan kes yang masih tinggi dan jumlah penerima vaksin sepenuhnya masih kurang dari 5 peratus di mana dalam pelan tersebut kita perlu mencapai sasaran 10 peratus,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Bagaimanapun, Azhari memuji kecekapan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin yang berusaha sedaya upaya dengan mewujudkan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin seperti di Stadium Bukit Jalil yang mula beroperasi hari ini dengan kemampuan memberi dos sebanyak 10,000 dos sehari.

“Selain dari itu, masih ada lagi perkara positif yang kita perlu tahu di mana jumlah kes sembuh harian telah melebihi kes baru harian selama 15 hari berturut-turut. Bagi saya ini adalah perkara positif yang dapat melegakan kita semua serba sedikit.

“Kita berjaya kurangkan kes aktif dari 86,628 ke 62,918 kes. Mari kita lihat graf, mengapa saya kata kes COVID-19 akan menurun?

“Jika kita rujuk balik paten penurunan kes COVID-19 pada bulan April 2020 dan Februari 2021. Apabila kes sembuh melebihi dari kes baharu, ia memberi tanda bahawa kes COVID-19 akan menurun,” jelasnya.

Beliau turut mengharapkan menjelang Julai dan seterusnya situasi semasa negara dapat dipulihkan dan merancakkan kembali ekonomi.

“Seterusnya sekatan rentas daerah dan negeri boleh dibuka semula agar kita semua dapat melawat orang tua kita yang sudah lama kita tidak jumpa. Mari kita doa bersama-sama insya-Allah,” ujar beliau. – UMNO Online.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.