PKPD Di Beberapa Lokaliti Di Johor, Sabah Dan Pahang Mulai 22 Jun

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Beberapa kawasan di Johor, Sabah dan Pahang akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) mulai Selasa ini (22 Jun) hingga 5 Julai depan, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata di Johor, kawasan yang terlibat ialah Kampung Tanjung Genting, Kampung Benaung, Kampung Makam dan Kampung Sawah Datok di mukim Tenglu, Mersing.

“Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan terdapat peningkatan kes COVID-19 di keempat-empat lokaliti tersebut di mana 54 kes positif telah direkodkan hasil daripada 268 ujian saringan yang dijalankan.

“Di Sabah pula, lokaliti terlibat ialah Kampung Skim Pamalan di Keningau, Kampung Jaya Baru di Kunak, Taman Wijaya Park di Kota Kinabalu, Kampung Serudung Baru di Tawau dan Ladang Brumas di Kalabakan.

“Di Kampung Skim Pamalan, terdapat peningkatan kes COVID-19 dengan 30 kes positif direkodkan hasil 339 ujian saringan yang dijalankan, iaitu kadar positiviti 8.84 peratus,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Ismail Sabri berkata di Kampung Jaya Baru pula terdapat 20 kes positif, Taman Wijaya Park (12 kes), Kampung Serudung Baru (10) dan Ladang Brumas (sembilan).

Beliau berkata di Pahang, lima kawasan perumahan di Mentakab, Temerloh iaitu Taman Bukit Bendera, Taman Rimba, Taman Sri Layang, Taman Saga dan Taman Saga Indah dikenakan PKPD apabila KKM mengesan peningkatan kes COVID-19.

Katanya di Taman Bukit Bendera terdapat lapan kes, Taman Rimba 10 kes, Taman Saga tiga kes, Taman Saga Indah dua kes manakala Taman Sri Layang tujuh kes.

Beliau berkata pelaksanaan PKPD di kawasan terbabit adalah untuk memudahkan KKM membuat saringan secara bersasar ke atas penduduk seterusnya mengekang penularan COVID-19 ke komuniti lain.

Katanya PKPD di Kampung Pulutan, Nabawan di Sabah, yang dijadualkan tamat esok, dilanjutkan dari 22 Jun hingga 5 Julai selepas didapati masih berlaku jangkitan dalam kalangan penduduk di kawasan itu.

Ismail Sabri juga berkata PKPD yang dilaksanakan di Kampung Murni C, Nabawan; Kampung Tamalang dan Kampung Tuguson di Kota Belud; Kampung Bergosong, Pulau Sebatik di Tawau; Kampung Ongkilan di Kota Marudu; Kampung Jaya Gading, sebahagian Kampung Seri Damai dan Bandar Baru Jaya Gading di Jaya Gading serta kawasan Perindustrian Gebeng di Kuantan, Pahang tamat esok seperti dijadualkan.

“Pangsapuri Taman Permata, Sandakan di Sabah pula tamat hari ini seperti dijadualkan,” katanya.

Menyentuh pematuhan prosedur operasi standard PKP, beliau berkata seramai 852 individu ditahan atas pelbagai kesalahan semalam dan daripada jumlah itu, 821 dikompaun manakala 31 direman.

Katanya antara kesalahan yang dikesan ialah gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis, tidak memakai pelitup muka dan merentas negeri atau daerah tanpa kebenaran selain makan dalam premis menjual makanan. – BERNAMA

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.