Tiada Bantuan… Di Mana Kerajaan Ketika Rakyat Sedang Susah? – Mohd Zaidy

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan mendesak supaya kerajaan negeri memulakan inisiatif bantuan kepada rakyat sebagaimana dilaksana oleh beberapa kerajaan negeri yang lain.

Ketuanya, Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, kerajaan perlu bantu rakyat yang semakin kurang hasil jualan perniagaan mereka atau rakyat yang hilang pekerjaan kerana syarikat-syarikat mereka bekerja ditutup dan paling penting, berilah bantuan komputer percuma kepada pelajar-pelajar di negeri ini untuk meneruskan persekolahan secara dalam talian serta ambil kiralah semua ini.

“Kerajaan Negeri juga perlu menggorak langkah untuk menambahkan jumlah pendaftaran vaksin di kalangan rakyat di negeri ini.

“Sekali lagi diingatkan jangan hanya harapkan Kerajaan Persekutuan semata-mata sebaliknya gunakan segala jentera Kerajaan Negeri yang ada untuk turun ke kampung-kampung bagi memberi kesedaran kepada rakyat sekali gus membantu mereka untuk membuat pendaftaran secara dalam talian kerana lebih cepat rakyat berdaftar menerima vaksin maka lebih cepatlah kita dapat mencapai imuniti berkelompok.

“Paling penting, Kerajaan Negeri Sembilan jangan terlalu ego dan  kurangkan ego.  Mintalah bantuan daripada Kerajaan Pusat atas segala apa jua keperluan yang negeri perlukan dan percepatkan vaksinasi rakyat serta pada masa sama bantu rakyat sehabis mungkin,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah Mohd Zaidy, saat inilah Menteri Besar perlu bijak untuk menggunakan syarikat-syarikat Kerajaan Negeri supaya mereka juga berperanan dalam membantu  memperhebatkan program-program tanggungjawab korporat (CSR) kerana inilah masanya syarikat-syarikat Kerajaan Negeri juga membantu rakyat.

“Jangan hanya bangga umumkan keuntungan jutaan ringgit, tapi bila rakyat memerlukan, sikit pun tak bantu. Jika enggan membantu, maknanya tidak ada bezalah antara mereka dengan kapitalis.

“Bangkitlah wahai Yang Amat Berhormat Menteri Besar, kejutkanlah Exco-Exco di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat yang sedang tidur itu, rakyat perlukan Kerajaan Negeri ketika ini.

“Janganlah bermegah-megah dengan pejabat dan rumah yang selesa, kereta yang besar sedangkan rakyat kini tertekan dengan pelbagai masalah ketika ini. Bantulah rakyat kerana rakyat sedang susah, tolonglah… kami merayu,” katanya lagi.

Dalam pada itu beliau turut merasa risau tentang angka jangkitan COVID-19 di Negeri Sembilan yang mencatatkan jumlah melebihi 1,000 kes.

“Ada satu berita yang amat membimbangkan rakyat di negeri ini, mana tidaknya kebiasaannya kami di Negeri Sembilan hanya melihat Selangor dan Kuala Lumpur sahaja yang mencatatkan angka jangkitan COVID-19 melebihi 1,000 kes tapi hari ini ia berlaku di negeri kami.

“Ini amat membimbangkan dan membingungkan rakyat di Negeri Sembilan. Sudahlah kita dipaksa untuk berkurung di rumah lebih dua minggu akibat daripada perintah berkurung oleh Kerajaan itu, ribuan rakyat kurang pendapatan malah lebih teruk dari itu, hilang punca pendapatan kerana tidak dapat keluar rumah untuk berkerja.

“Malangnya, pengorbanan rakyat yang tidak keluar rumah tidak menampakkan hasilnya kerana kes harian semakin meningkat. Di manakah salahnya? Adakah rakyat juga yang harus dipersalahkan?” soalnya.

Seterusnya kata beliau lagi, bagi membantu rakyat Kerajaan Negeri Sembilan seharusnya lebih proaktif dalam memikirkan jalan terbaik untuk sama-sama membantu rakyat yang kini makin tersepit antara bimbang dijangkiti COVID-19 dan juga ekonomi sendiri serta keluarga semakin terhimpit.

“Maka, Kerajaan Negeri seharusnya janganlah hanya berpeluk tubuh seperti kata bekas Menteri Besar, Datuk Seri  Mohamad Hasan iaitu Kerajaan Negeri perlu menggunakan segala sumber yang ada untuk setidak-tidaknya meringankan beban rakyat.

“Jangan hanya mengharapkan ihsan daripada Kerajaan Persekutuan. Apa guna adanya Kerajaan Negeri sekiranya tidak dapat membantu rakyat dalam saat pandemik dan berilah apa jua bantuan yang ada untuk disalurkan misalnya daripada anak-anak di rumah, pelajar sekolah, mahasiswa mahasiswi, golongan belia hinggalah ke warga emas atau wujudkan satu insentif yang boleh meringankan beban rakyat pelbagai lapisan di Negeri Sembilan,” jelas beliau.

Ujarnya lagi, kerajaan Negeri Sembilan juga boleh dikatakan sebagai Kerajaan Negeri yang paling pasif antara semua Kerajaan Negeri yang di negara ini.

“Sunyi sepi dan langsung tidak ada pengumuman-pengumuman yang membantu rakyat ketika pandemik ini dengan Kerajaan Negeri diam seribu bahasa dan rakyat tertanya-tanya, di manakah Menteri Besar Negeri Sembilan… wujud lagikah Exco-Exco Kerajaan Negeri?

“Ketika di negeri-negeri lain, Kerajaannya sibuk mengumumkan usaha untuk membeli sendiri vaksin bagi rakyatnya tetapi di Negeri Sembilan, langsung tidak ada inisiatif. Mungkin Menteri Besar dan Exco-Exco Kerajaan Negeri hanya akan timbul berjumpa rakyat ketika Plihan Raya Umum sahaja itu pun sebab nak undi rakyat dan bukan nak bantu rakyat,” bidasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.