Pemuda UMNO/BN Terus Perjuangkan Isu Kebajikan, Dengarlah Suara Hati Rakyat – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melahirkan rasa terkilan membaca komentar-komentar sinis sama ada daripada cybertrooper berbayar JKOM mahupun segelintir pendokong PPBM dan PN yang memerli dan mempertikaikan usaha Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN) berterusan mendesak Kerajaan dalam memperjuangkan isu-isu kebajikan rakyat.
Ini membabitkan isu moratorium, i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0, diskaun bil elektrik dan bantuan tambahan dalam bentuk tunai dan makanan asas kepada rakyat ketika PKP yang tidak berkesudahan ini.

Ujarnya, kalaulah masih ada sekelumit rasa simpati dan perasaan kasihan belas, cubalah ambil masa baca ribuan komen-komen di setiap status yang beliau kongsikan sebelum ini.

“Ini tidak termasuk ratusan mesej-mesej peribadi termasuk yang dilampirkan di status ini, yang kami terima setiap hari daripada pelbagai kaum termasuk Cina dan India, semuanya berkongsi resah, gelisah bahkan berada pada situasi yang amat tertekan dan terdesak (desperado).

“Waktu PKP 1.0 dahulu, rata-rata masih punya wang simpanan berbaki untuk digunakan. Malah waktu itu lagi apabila Pemuda UMNO bersama kepimpinan parti termasuk yang paling kuat bersuara Datuk Seri Najib Razak memperjuangkan i-Sinar 1.0, walaupun macam-macam perlian, ternyata akhirnya rakyat yang dapat manfaatnya.

“Ramai yang memanfaatkan pengeluaran untuk memulakan hidup baharu dengan perniagaan kecil-kecilan setelah dibuang kerja atau hilang punca pencarian,”katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Namun katanya, PKP 2.0 seterusnya PKP 3.0 seakan memusnahkan terus perniagaan yang baru dibina lebih parah simpanan juga sudah kering.

“Sebab itulah apabila ‘Total Lockdown’ hendak dilaksanakan (walaupun separa masak), kami Pemuda UMNO mencadangkan bantuan segera disekalikan termasuk bantuan tunai tambahan, Moratorium pukal tanpa caj secara automatik, i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0.

“Kini sudah masuk minggu ketiga PKP 3.0, ramai di kalangan rakyat makin menderita dan merana. Sudahlah bantuan tunai yang dijanjikan hanya akan masuk akhir bulan, itupun ramai juga yang dinafikan BPN 2.0 kali ini, tuntutan i-sinar 2.0 dan i-lestari 2.0 terus dipandang sepi, lebih menyakitkan hati bank-bank juga terus mengambil kesempatan dalam kesempitan rakyat dengan caj dan faedah tambahan atas moratorium yang ditawarkan,” katanya lagi.

Ujarnya, bagi Pemuda UMNO dan BN akan terus bersuara dan menggunakan pelbagai ‘channel’ sebagaimana yang dilakukan sebelum ini. Ini bukan soal nak jadi ‘hero’, jauh sekali akan ‘claim credit’ sebagaimana amalan sesetengah pihak.

“Ini soal rakyat yang hakikatnya amat susah dan tertekan. Biarlah apa orang nak kata tetapi yang penting rakyat yang dapat manfaat.

“Tolonglah buka mata dan buka hati untuk mendengar denyut nadi dan suara hati rakyat yang memang susah dan menderita ketika ini,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.