Calon SPM, STPM 2021 Akan Divaksinasi Bermula Julai – Khairy

KUANTAN,18 Jun – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 akan menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech bermula bulan depan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata proses suntikan berkenaan dijangka dilaksanakan di sekolah yang akan dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV).

“Kita akan mulakan pemberian vaksin kepada mereka pada Julai sebagai persediaan sebelum mereka kembali ke sekolah kelak,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Pahang, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan berkata cadangan kementerian itu agar murid yang menduduki peperiksaan awam diberi keutamaan untuk divaksinasi telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF).

Radzi berkata ini berikutan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech untuk golongan berusia 12 tahun ke atas.

Sementara itu, Khairy berkata pihaknya menyasarkan 80 peratus penduduk di Pahang dan negeri-negeri lain yang akan mengharungi musim tengkujuh divaksinasi menjelang Oktober ini.

“Kami akan cuba susun semula jadual pengagihan dengan mengambil kira musim tengkujuh bagi negeri-negeri yang akan terkesan. Kita harap dapat selesaikan menjelang Oktober, jika tidak, kita tengok strategi lain yang akan digunakan bagi memberi vaksin pada musim tengkujuh,” jelasnya.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu, pihaknya akan menawarkan vaksin jenis CanSino kepada negeri-negeri yang mempunyai kawasan pedalaman yang sukar diakses seperti Pahang, Sabah dan Sarawak.

Vaksin satu dos berkenaan memudahkan petugas kesihatan yang tidak perlu memasuki kawasan pedalaman untuk kali kedua bagi melengkapkan vaksinasi kepada penerima di situ, sekali gus menjimatkan masa.

Negara dijangka menerima penghantaran kumpulan pertama vaksin CanSino pada pertengahan Julai ini, katanya.

Selain itu, Khairy berkata Pahang akan menerima 440,000 dos vaksin pada bulan depan berbanding 180,000 pada bulan ini, sekali gus dapat meningkatkan kadar suntikan harian yang pada masa ini merekodkan purata 5,000 suntikan sehari.

“Pahang mempunyai kapasiti 30,000 suntikan sehari dan dengan pertambahan dos ini dijangka lebih banyak PPV dibuka di setiap daerah dan lebih banyak unit-unit bergerak dapat ke lokasi pedalaman, kampung Orang Asli dan pulau,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.