Titah Agong Beri Kelegaan Untuk Rakyat, Berdepan Kemelut COVID-19 – Haryaty Hamdzah

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka menjunjung kasih dan menyokong sepenuhnya titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Melayu yang telah menzahirkan pandangan dalam Perbincangan Raja-Raja Melayu yang berlangsung di Istana Negara semalam.

Ketuanya, Haryaty Hamdzah berkata titah ini memberi kelegaan bagi rakyat Malaysia yang berhadapan dengan keresahan akibat pandemik COVID-19 dari aspek kesihatan, ekonomi dan kestabilan politik.

“Menjunjung kasih Seri Paduka Baginda atas keprihatinan tinggi dan kasih sayang terhadap negara dan rakyat. Ia jelas merupakan pelaksanaan prinsip Raja Berperlembagaan, demokrasi berparlimen.

“Kami berharap agar mekanisme pelaksanaan titah itu nanti tanpa ropol, tiada politiking dan benar-benar membantu negara ini bangkit semula seterusnya memberdayakan lagi wanita Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan.

Semasa Persidangan Raja-Raja Melayu semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen perlu bersidang secepat mungkin.

Perjumpaan itu dihadiri oleh Sultan Terengganu, Sultan Selangor, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Sultan Johor, Sultan Perak, Sultan Kedah, Pemangku Raja Pahang dan Raja Perlis yang diwakili oleh Raja Muda Perlis. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.