Pelan Pemulihan Negara: Ahmad Maslan Gesa Usaha Berlipat Ganda Harungi Empat Krisis

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, usaha berlipat ganda semua pihak wajar dipadukan agar putaran ganas krisis-krisis dalam negara dapat diselesaikan segera.

Ini kerana katanya, sekarang Malaysia mengalami empat krisis serentak iaitu krisis pandemik COVID-19, krisis ekonomi, krisis politik dan krisis keyakinan.

“Masa tidak bersama kita. Setiap hari ramai yang mati,” katanya menerusi ciapan dalam Twitternya pagi ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian sebagai respon terhadap Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam iaitu langkah kerajaan melaksanakan perancangan yang lebih tersusun mendepani pandemik COVID-19.

Katanya, sidang Parlimen dan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) wajar dilaksanakan.

“Parlimen dan 13 DUN wajar bersidang dengan vaksinasi semua staf yang terlibat. Pantaskan vaksin agar dicapai imunisasi kelompok. Pakar-pakar ekonomi diminta nasihat langkah-langkah yang tepat untuk pemulihan.

“Rakyat dan Raja berpisah tiada. Junjung Kasih Duli-duli Tuanku.”

Semalam, kes baharu harian COVID-19 ialah 5,419, menjadikan jumlah kumulatif jangkitan di dalam negara adalah 667,876 orang dengan 101 kes kematian dicatatkan iaitu menambah bilangan kumulatif kematian dalam negara akibat COVID-19 kepada 4,069 orang.

Dilaporkan, menerusi Pelan Pemulihan Negara, satu strategi peralihan keluar dari kemelut pandemik COVID-19 merangkumi empat fasa yang akan melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat dilaksana. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.