Malaysia Hargai Sumbangan China 500,000 Vaksin Sinovac , Jepun Sumbang Vaksin AstraZeneca

KUALA LUMPUR, 16 Jun –  Kerajaan Malaysia merakamkan penghargaan kepada China dan Jepun kerana membantu Malaysia dalam proses pemerolehan dan menyumbang vaksin untuk rakyat Malaysia.
Dalam dua kenyataan berbeza, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berterima kasih kepada dua rakan sejawatnya, Wang Yi dari China dan Motegi Toshimitsu dari Jepun.
Katanya, China telah bersetuju menyumbang 500,000 dos SinoVac-CoronaVac, sementara Jepun berhasrat menyumbang vaksin AstraZeneca yang dikeluarkan di negara itu ke Malaysia.
“Malaysia sangat menghargai sokongan yang tidak ternilai yang diberikan oleh China. Menerusi inisiatif terbaharu ini, Malaysia berharap hubungan yang erat dan mesra akan diperkukuh untuk faedah bersama kedua-dua negara.
“Ini merupakan langkah signifikan melibatkan hubungan Malaysia-Jepun demi faedah kedua-dua negara. Malaysia sangat menghargai sokongan tidak ternilai yang diberi oleh Jepun, kerjasama kukuh bersama sepanjang pandemik ini,” katanya dalam kenyataan media.
Jelas Hishammuddin, sumbangan serta inisiatif tersebut akan mempercepatkan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Pada Selasa, kerajaan Jepun mengumumkan akan menyumbang vaksin AstraZeneca yang dikeluarkan di negara itu kepada Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand.
Menurut Kedutaan Jepun di Malaysia, Toshimitsu memaklumkan vaksin akan dihantar mulai Julai, jika keadaan mengizinkan, dan akan segera membuat penyelarasan.
@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.