PKPD Di Beberapa Lokaliti Di Sarawak, Sabah Mulai Khamis Hingga 30 Jun

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Dua perkampungan di Sarawak dan beberapa lokaliti di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Khamis ini hingga 30 Jun, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata di Sarawak, kawasan dikenakan PKPD ialah Kampung Goebilt dan Kampung Muara Tebas di Kuching, yang masing-masing merekodkan 24 dan 22 kes positif COVID-19 hasil saringan yang dijalankan.

“Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Di Sabah pula, lapan lokaliti dikenakan PKPD iaitu Kampung Rancangan dan Kampung Kijang Merotai di Kalabakan, Kampung Tanjung Batu Tengah dan Taman Semarak Megah di Tawau, Kampung Rampayan dan Kampung Kionsom Kecil di Kota Kinabalu, Kampung Taun Gusi Peninting di Kota Belud dan PPR Taman Ehsan di Kudat.

Katanya PKPD di Kampung Rancangan dilaksanakan selepas mencatatkan 11 kes positif manakala Kampung Kijang Merotai merekodkan lapan kes positif.

Di Kampung Tanjung Batu Tengah, seramai 15 individu dikesan positif manakala Taman Semarak Megah merekodkan 16 kes, Kampung Rampayan 10 kes dan Kampung Kionsom Kecil mencatatkan 13 kes manakala Kampung Taun Gusi Peninting dan PPR Taman Ehsan pula masing-masing merekodkan lapan kes positif.

PKPD di Kampung Simpangan, Tuaran di Sabah, yang dijadualkan berakhir esok, dilanjutkan sehingga 30 Jun selepas penularan didapati masih berlaku dalam kalangan penduduk selain terdapat kes baharu yang direkodkan di lokaliti itu.

Ismail Sabri juga berkata PKPD di Taman Nikmat, Kampung Pirasan dan Kampung Dundau di Kota Belud, Sabah pula ditamatkan esok seperti dijadualkan manakala PKPD di Lorong Taman Utama 5,6,7 dan 8, Taman Utama di Sandakan dan Kampung Sepagaya Hulu, Silam di Lahad Datu, Sabah ditamatkan malam ini selepas terdapat penurunan kes selain kluster juga terkawal manakala kes positif telah menerima rawatan.

Beliau berkata PKPD di Kampung Sugud, Penampang, Sabah juga ditamatkan malam ini berbanding 18 Jun manakala PKPD di Lorong Ulu Sibuga 5 dan 9, Fasa 7 Taman Mawar di Sandakan, Sabah serta PKPD di tiga perkampungan di Batu 9 Lekir, Mukim Lekir, Manjung, Perak ditamatkan malam ini berbanding 19 Jun.

“PKPD di FELDA Tersang 1,2 dan 3, Mukim Batu Talam di Raub, Pahang juga ditamatkan malam ini iaitu lebih awal daripada dijadualkan pada 24 Jun,” katanya.

Ismail Sabri juga berkata seramai 854 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard dan 819 daripada mereka dikompaun manakala 35 direman. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.