Pelan Pemulihan Negara Boleh Kembalikan Penghidupan Harian Biasa – PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Perdana Menteri mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang diyakini dapat mengembalikan penghidupan harian biasa menjelang akhir tahun termasuk mengadakan semula sesi persidangan Parlimen pada September atau Oktober.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelan itu adalah satu strategi peralihan keluar dari kemelut pandemik COVID-19 merangkumi empat fasa yang akan melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Pelan Pemulihan Negara: Peralihan Fasa PKP secara berperingkat yang disiarkan secara langsung di stesen-stesen televisyen petang ini.

Muhyiddin berkata setiap fasa berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama ataupun threshold untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

Indikator pertama ialah keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, indikator kedua ialah keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan indikator ketiga adalah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Fasa pertama pada Jun, iaitu pelaksanaan PKP menyeluruh yang sedang dilaksanakan dalam keadaan bilangan kes adalah tinggi, sistem kesihatan awam pada tahap kritikal dan kadar pencapaian vaksinasi yang masih rendah.

Fasa kedua (Julai – Ogos) akan menyusul setelah purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes, sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana dan 10 peratus populasi telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Seperti fasa pertama, aktiviti sosial dan kawalan pergerakan di bawah fasa kedua akan terus dikawal dengan ketat dengan aktiviti ekonomi dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80 peratus di premis.

Perdana Menteri berkata pendekatan senarai positif diteruskan iaitu hanya sektor yang tersenarai dibenar beroperasi manakala yang tidak tersenarai masih ditutup.

Muhyiddin berkata pada masa sama senarai positif daripada fasa pertama akan juga diperluaskan semasa fasa kedua dengan menambahkan beberapa sektor manakala aktiviti sosial dan rentas negeri masih tidak dibenarkan.

Muhyiddin berkata antara aktiviti dibenarkan semasa fasa kedua ialah pembuatan seperti simen untuk memastikan kelangsungan pembinaan yang dibenarkan serta aktiviti peruncitan seperti barangan elektronik dan komputer bagi menyokong mereka yang bekerja dari rumah.

Bagaimanapun, beliau berkata masih terdapat aktiviti pembuatan, pembinaan, peruncitan dan perkhidmatan yang tidak disenaraikan dan kekal tidak beroperasi seperti pembuatan tekstil dan kedai perabot.

Bagi fasa ketiga (September – Oktober), perdana menteri berkata semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi untuk jangkitan COVID-19 yang masih ditutup.

Beliau berkata fasa itu boleh digerakkan sekiranya Malaysia berjaya mencapai nilai ambang iaitu purata kes harian menurun ke paras bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam berada pada tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di ICU ke paras mencukupi dan 40 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Nilai ambang itu dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir Ogos ini, katanya

Pada fasa ketiga semua sektor ekonomi akan dibenar beroperasi kecuali aktiviti yang tersenarai dalam senarai negatif, iaitu aktiviti yang berisiko tinggi menyebabkan jangkitan COVID-19 atau melibatkan keramaian.

Sektor ekonomi akan kekal dibenarkan beroperasi pada kapasiti 80 peratus seperti fasa kedua dan aktiviti sosial termasuk pendidikan dan sukan tertentu boleh mula dibuka secara berperingkat, kata Muhyiddin.

Beliau berkata di bawah fasa ketiga, semua aktiviti pembuatan akan dibenar beroperasi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan had kapasiti.

Senarai negatif yang tidak dibenarkan beroperasi merujuk kepada aktiviti berisiko tinggi kerana melibatkan keramaian seperti penganjuran konvensyen dan penjarakan sosial tidak dapat diamalkan seperti pub, spa dan salon kecantikan.

Namun, perdana menteri berkata kelonggaran kepada had kapasiti akan dipertimbangkan untuk membolehkan syarikat beroperasi sepenuhnya setelah pekerjanya divaksinasi.

Muhyiddin menyuarakan komitmen bahawa persidangan Parlimen boleh diadakan dalam fasa ini pada September atau Oktober dengan mengikut SOP yang ketat.

“Ini adalah pendirian saya dari awal bahawa sistem Demokrasi Berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai, iaitu setelah kes-kes COVID-19 terkawal dan kita hampir mencapai imuniti berkelompok.

“Saya akan terus mendokong prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan,” katanya.

Beliau memberi amaran agar jangan ada pihak yang sengaja menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat sehingga mengganggu tugas utama kerajaan untuk menangani pandemik COVID-19.

Perdana Menteri berkata fasa keempat boleh digerakkan sekiranya nilai ambang tercapai iaitu purata kes harian menurun ke paras bawah 500 kes, sistem kesihatan awam berada pada paras selamat termasuk kadar penggunaan katil di ICU di paras mencukupi dan 60 peratus populasi telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Beliau berkata berdasarkan unjuran pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, peralihan itu dijangka dapat dilaksanakan seawal akhir Oktober.

Muhyiddin berkata fasa keempat mungkin boleh mengembalikan norma kehidupan seharian dengan semua sektor ekonomi dibuka, lebih banyak aktiviti sosial dibenarkan, perjalanan rentas negeri dibolehkan dan pelancongan domestik juga akan dibuka tertakluk kepada SOP yang ketat.

Beliau berkata fasa itu dapat dilaksanakan apabila bilangan kes COVID-19 adalah rendah, sistem kesihatan awam pada tahap selamat dan program vaksinasi mencapai tahap imuniti berkelompok atau herd immunity selewatnya pada akhir tahun ini.

“Kerajaan telah merangka pelan ini dengan membuat pertimbangan sebaiknya bagi memastikan setiap keputusan yang diambil adalah untuk melindungi nyawa dan memastikan kelangsungan hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata peningkatan bekalan vaksin sebanyak 16 juta dos pada hujung Julai ini serta peningkatan kadar pemberian vaksin harian membuatkan kerajaan lebih yakin untuk menjayakan pelan itu.

Kesemua SOP bagi fasa-fasa itu akan diperincikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan diumumkan dalam masa terdekat. – BERNAMA