KPLB Sedia Gerak KEMAS, Lembaga Kemajuan Wilayah Bantu Program Vaksinasi

LIPIS, 15 Jun – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bersedia menggerakkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Lembaga Kemajuan Wilayah di bawahnya bagi membantu urusan pendaftaran vaksin COVID-19 penduduk pedalaman dan Orang Asli.

Timbalan Menteri KPLB 1 Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata pihaknya juga bersedia ‘membuka’ fasiliti KEMAS atau mana-mana agensi di bawah kementerian untuk dijadikan sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) bagi membantu mempercepatkan proses vaksinasi di negara ini.

Katanya, KEMAS mempunyai lebih kurang 2,000 fasiliti yang boleh digunakan selain 11,000 pendidik masyarakat yang sedia digerakkan bergantung kepada kesesuaian dan keperluan, selain lebih 15,000 individu di bawah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) juga boleh membantu proses vaksinasi itu.

“Kita mahu membantu urusan pendaftaran terutamanya untuk mereka yang tidak mempunyai peranti, kurang mahir menggunakan peranti atau tiada akses Internet selain memberi penerangan yang tepat mengenai vaksin supaya mereka sedar akan kepentingan mengambil vaksin.

“Kita berharap kerjasama antara agensi KPLB, pejabat kesihatan daerah dan JPKK akan membantu meningkatkan tahap kesedaran masyarakat luar bandar dan bagi warga emas yang terlantar, program vaksinasi bergerak juga boleh diaktifkan ke kampung supaya tiada yang tercicir dalam program ini,” katanya.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai pasukan Pejabat Kesihatan Daerah Lipis melakukan Program Misi Vaksinasi Warga Emas dan Golongan Kurang Upaya (OKU) di Kampung Kuala Kenong di sini hari ini, yang menyaksikan 20 individu menerima suntikan dos pertama vaksin Sinovac.

Program yang turut disertai Pejabat Daerah dan Tanah Lipis serta pasukan beruniform seperti polis dan bomba, menyaksikan kecekalan petugas terlibat menaiki bot meredah Sungai Jelai sebelum menaiki kenderaan pacuan empat roda melalui ladang getah, yang merupakan laluan utama ke kampung itu.

Abdul Rahman berkata inisiatif KPLB diharapkan dapat mengurangkan kerisauan anak warga emas yang tidak dapat pulang ke kampung halaman ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berhubung proses vaksinasi terhadap ibu bapa mereka.

“Kita memahami keluh-kesah mereka kerana ada antara warga emas tidak mempunyai kenderaan selain ada yang mengalami kesukaran untuk ke PPV kerana terlantar atau masalah kesihatan lain dan ini antara jalan yang boleh diambil bagi membantu memudahkan mereka menerima vaksin,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.