Boustead Peruntuk RM18 Juta Bantu Syarikat, Peruncit
KUALA LUMPUR, 14 Jun – Boustead Properties Bhd memberikan pengecualian sewa dan rebat, bantuan komersial dan lain-lain bernilai kira-kira RM18 juta kepada hampir 350 penyewa di enam hartanah komersialnya di seluruh negara untuk membantu mereka menghadapi impak ekonomi yang teruk akibat pandemik COVID-19.
Dalam kenyataan hari ini, anak syarikat milik penuh Boustead Holdings Bhd itu berkata bantuan tersebut telah dilanjutkan kepada penyewa runcit dan komersial, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mengalami masalah aliran tunai dalam pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata semasa PKP 1.0 dan 2.0, pelepasan kewangan yang ditanggung oleh Boustead Properties membantu penyewa dalam pelbagai aspek penting serta kategori perdagangan dan perkhidmatan yang penting.
“Dengan sektor runcit antara yang paling teruk terjejas oleh pandemik, inisiatif Boustead Properties telah membolehkan peruncit dan para penghuni untuk terus beroperasi, memberi manfaat kepada penyewa dan pembeli,” katanya.
Mohamed Khalid, yang juga pengerusi Boustead Holdings, berkata dari aspek komersial, langkah-langkah ini telah membantu mengurangkan beban penyewa di Menara Boustead, Menara Boustead Penang, Wisma Boustead dan Nucleus Tower.
Beliau berkata penyewa hartanah ini terdiri daripada mereka yang menyediakan perkhidmatan undang-undang, pengurusan aset kewangan, insurans, perdagangan, perjalanan, telekomunikasi, kejuruteraan, pengiklanan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan jualan serta restoran, PKS dan agensi kerajaan.
“Kumpulan akan melakukan apa yang boleh untuk mengurangkan impak pandemik, selain kami berharap kepada pembukaan semula ekonomi dan fasa pemulihan,” katanya.