Kerajaan Nilai Semula SOP Jika Kes COVID Turun Bawah 4,000 – Ismail Sabri

JOHOR BAHRU, 13 Jun – Kerajaan akan menilai semula pelaksanaan ketat prosedur operasi standard (SOP) sekatan penuh pergerakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang berkuat kuasa sejak 1 Jun lepas, jika jumlah jangkitan harian COVID-19 turun bawah 4,000, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun katanya itu tidak bermakna kerajaan akan menamatkan PKP.

“Saya dimaklumkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa apabila sampai ‘level’ 4,000 kes, kita akan ‘review’ balik PKP ini. Bukan bermakna kita tamatkan PKP, tapi mungkin kita ‘review’ balik dari segi SOP yang mana boleh kita longgarkan sedikit,” katanya pada sidang media hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan, sebelum itu melawat  Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.

Beliau juga berkata KKM akan membuat syor mengenai langkah yang boleh diambil sekiranya angka jangkitan harian turun ke paras 4,000 kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada mesyuarat khas akan datang.

Ismail Sabri berkata vaksinasi rakyat bagi mencapai imuniti kelompok atau sekurang-kurangnya 60 peratus rakyat negara ini divaksin menjadi fokus utama kerajaan ketika ini, sebelum pelan keluar daripada pelaksanaan PKP secara keseluruhan dapat dilaksanakan.

Mengulas mengenai Hospital Medan ATM di HSA, beliau berkata hospital yang dijangka beroperasi pada 17 Jun itu merupakan yang keenam dibina dengan kerjasama KKM bagi membantu menampung kapasiti hospital dan unit rawatan rapi (ICU) di Johor Bahru.

Sementara itu, Dr Adham yang turut hadir, berkata Hospital Medan ATM di HSA akan mempunyai empat katil ICU dan 60 katil wad untuk pesakit COVID-19 kategori tiga dan empat.

Setakat 11 Jun lepas, kadar penggunaan katil wad di hospital khusus COVID-19 di Johor ialah 92 peratus iaitu 1,095 daripada 1,186, manakala penggunaan katil ICU di enam hospital pakar di Johor iaitu HSA, Hospital Sultan Ismail, Kluang, Batu Pahat, Muar dan Segamat melebihi 70 peratus.

Sementara itu, Ketua Pengurusan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Markas ATM Brig. Jen. Dr Mohd Arshil Moideen berkata pemasangan khemah dan penyusunan aset di Hospital Medan di HSA disiapkan dalam tempoh empat hari, bermula 9 Jun lepas.

“Keupayaan Hospital Medan ATM HSA ini boleh ditingkatkan hingga 100 katil bagi pesakit COVID-19 kategori tiga dan empat, begitu juga katil ICU boleh ditingkatkan kepada enam dan hingga 12 katil jika keadaan memerlukan,” katanya.

Setakat ini gerak kerja ATM membantu KKM menyelaras fasiliti kesihatan sejak bermula pandemik COVID-19 tahun lalu termasuk penyediaan daripada segi aset dan logistik.

Gerak kerja ATM sebelum ini membabitkan lima lokasi iaitu Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Hospital Medan di Tawau, Sabah; Hospital Medan Penjara Pokok Sena, Kedah – khusus untuk banduan, Hospital Medan di Kapit, Sarawak – khusus untuk pesakit bukan COVID-19; dan Hospital Medan Kepala Batas, Pulau Pinang – khusus untuk ICU pesakit COVID-19. – BERNAMA