31 PPV Di Perak Dijangka Beroperasi Sepenuhnya Bulan Depan

LUMUT, 13 Jun – Kesemua 31 pusat pemberian vaksin (PPV) di Perak dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang hujung bulan depan sebaik bekalan vaksin COVID-19  yang diterima mencukupi untuk menampung keperluan, kata Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad.

Beliau berkata pada masa ini terdapat 13 PPV masih belum beroperasi.

“Tenaga kerja cukup, cuma kita mahu pastikan bekalan vaksin mencukupi,” katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga perkampungan, di Pos Kawalan Tempat Kejadian Tanjung Kepah, dekat sini hari ini.

Menurutnya pada masa ini juga kira-kira 10,000 penduduk menerima vaksin dalam masa sehari dan jumlah dijangka meningkat kepada 15,000 orang dalam tempoh terdekat.

“Kalau 13 lagi PPV ini dibuka, dijangka  20,000 hingga 30,000 individu dapat divaksin setiap hari,” katanya, menambah kerajaan negeri juga bercadang memperbanyak PPV bergerak dan pandu lalu.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri telah memberi kebenaran kepada Syarikat Maju Perak untuk membeli vaksin dan melaksanakan pemberian vaksin berbayar kepada mereka yang berkemampuan.

Dalam pada itu, Saarani berkata kerajaan negeri juga sudah memberi kebenaran kepada syarikat Maju Perak untuk membeli vaksin untuk pemberian vaksin secara berbayar kepada mereka yang berkemampuan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.