2,600 Laman Sesawang Disekat, RM2.2 Juta Ubat-Ubatan Tidak Berdaftar Dirampas

PUTRAJAYA, 13 Jun – Pihak berkuasa telah menyekat akses ke atas 2,600 laman sesawang yang menawarkan ubat-ubatan berbahaya, serta merampas ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai lebih RM2.2 juta dalam Operasi Pangea XIV yang dijalankan di seluruh negara bermula 18 hingga 25 Mei lepas.

Operasi itu melibatkan Kementerian Kesihatan (KKM), National Central Bureau/Interpol Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang menumpukan pada laman sesawang dan media sosial yang menawarkan ubat-ubatan berbahaya dan peranti perubatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata tumpuan Operasi Pangea XIV pada tahun ini ialah penjualan yang disalahgunakan bagi tujuan rawatan COVID-19 kerana terdapat penjual yang tidak bertanggungjawab mengambil peluang mendapatkan keuntungan dengan menjual produk perlindungan bagi wabak COVID-19.

“Buktinya, ubat-ubatan terkawal yang dikatakan untuk rawatan COVID-19, pelitup muka, termometer, sarung tangan, gaun pembedahan, kit ujian untuk COVID-19, nasal aspirator dan swab beralkohol yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan banyak dijual dalam talian.

“Selain itu, terdapat trend peningkatan penjualan bahan psikotropik oleh penjual yang tidak bertauliah di platform yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas Operasi Pangea XIV itu, beliau berkata sebanyak 2,600 laman sesawang termasuk Dark Web dikesan menjual produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang telah dipantau, disiasat dan diambil tindakan.

Dalam tempoh operasi itu juga, sebanyak 972 bungkusan pos telah diperiksa dan 157 daripadanya didapati mengandungi 9,115 unit produk farmaseutikal tidak berdaftar bernilai RM108,352.00.

“Berbanding dengan Operasi Pangea pada tahun lalu, lebih 60 peratus produk yang dirampas pada tahun ini adalah ubat-ubatan terkawal di bawah Akta Racun 1952 manakala 18 peratus daripada ubat-ubatan terkawal yang dirampas adalah di bawah kategori bahan psikotropik.

“Selebihnya adalah ubat darah tinggi, kencing manis, pil gugur, ubat antiradang dan lain-lain yang kebanyakannya tidak berdaftar dengan KKM,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata pemeriksaan turut dijalankan di semua pintu masuk utama seluruh negara melibatkan kargo udara, lapangan terbang, pos sempadan dan terminal feri, dan hasilnya sebanyak 961 unit ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai RM42,213 dirampas.

“Aktiviti penguatkuasaan lain yang dijalankan melibatkan serbuan bersasar ke atas penjual dan premis perniagaan yang terlibat dengan penjualan secara dalam talian.

“Semasa operasi kali ini, 94 premis perniagaan yang menjual produk farmaseutikal yang tidak berdaftar dan juga premis yang mengedarkan bahan psikotropik yang tidak berdaftar telah diserbu,” katanya.

Beliau berkata dalam serbuan dilakukan, sebanyak 61,864 unit produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang telah dirampas untuk tindakan lanjut dengan nilai rampasan dianggarkan RM2,071,855.

Turut dirampas beberapa peranti digital seperti komputer dan telefon bimbit yang digunakan sebagai medium untuk memasarkan produk, katanya.

Dr Noor Hisham berkata aktiviti kesedaran kepada orang awam mengenai potensi bahaya membeli ubat-ubatan secara dalam talian juga merupakan sebahagian daripada Operasi Pangea XIV.

“Sebanyak 206 kempen kesedaran pengguna telah diadakan sepanjang tempoh Operasi Pangea XIV dan antara usaha yang dijalankan ialah kempen kesedaran melalui media sosial, termasuk panduan video mengenai pembelian ubat dalam talian yang selamat,” katanya.

“Pada tahun ini juga, pendidikan mengenai penjualan peranti perubatan untuk COVID-19 turut diadakan di farmasi-farmasi komuniti,” tambah beliau.

Beliau berkata KKM masih memantau laman sesawang dan media sosial serta menggiatkan aktiviti penguatkuasaan dalam menangani isu penjualan produk farmaseutikal dan peranti perubatan dalam talian walaupun setelah Operasi Pangea berakhir.

”Pautan di laman sesawang yang menjual ubat-ubatan yang tidak berdaftar yang mempunyai tuntutan rawatan COVID-19, masih lagi disaring dan disekat.

“Notifikasi juga sentiasa dikeluarkan kepada platform e-dagang bagi menurunkan penjualan produk-produk tidak berdaftar atas tujuan yang sama,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata orang ramai perlu memastikan produk kesihatan yang dijual sama ada dalam talian ataupun di premis mempunyai pelekat keselamatan hologram dan nombor pendaftaran produk sebelum membeli produk tersebut.

Status pendaftaran produk boleh disemak dengan melayari laman sesawang http://www.npra.gov.my di ruangan “Product Status” atau orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store, Apple App Store atau Huawei AppGallery bagi tujuan semakan.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.