PKP 3.0 Dilanjut Sehingga 28 Jun – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) yang dijadualkan sehingga Isnin ini, disambung dua minggu lagi hingga 28 Jun berikutan jumlah kes harian COVID-19 yang masih tinggi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini setelah menerima cadangan dan pembentangan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira jumlah kes harian masih tinggi melebihi 5,000 sehari dengan purata kes baharu sehingga semalam ialah 6,871,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Ismail Sabri menjelaskan senarai prosedur operasi standard (SOP) bagi setiap aktiviti perkilangan, perniagaan dan industri masih kekal seperti mana diumumkan sebelum ini yang boleh dirujuk dari laman sesawang kementerian berkaitan.

Katanya maklumat lanjut SOP pula boleh diperoleh menerusi laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my.

Ismail Sabri berkata memandangkan semua senarai SOP adalah sama seperti sebelum ini, maka beliau berharap tiada lagi kekeliruan dalam pelaksanaan penguatkuasaan SOP di lapangan yang akan mengakibatkan rakyat terkesan.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di beberapa lokaliti di Sabah iaitu Kampung Kadazan, Tawau; Kampung Lobou 1 dan Kampung Bukit Permai di Kota Kinabalu; Taman Villa Felca Nambazan, Penampang serta Kampus Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah bermula 13 hingga 26 Jun ini.

Pelaksanaan PKPD ini katanya untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut susulan berlaku peningkatan kes yang ketara.

“Kerajaan juga bersetuju menamatkan PKPD di 19 daripada 21 Mukim di Kuala Terengganu seperti dijadualkan esok. PKPD di dua mukim lagi iaitu Mukim Bukit Besar dan Mukim Serada dilanjutkan bermula 13 Jun sehingga 26 Jun berikutan masih terdapat peningkatan ketara kes COVID-19,” katanya.

Beliau berkata turut ditamatkan esok ialah PKPD di tiga taman perumahan di Sabak Bernam, Selangor iaitu Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima, manakala di Johor melibatkan PKPD Taman Sinar Harapan, Tampoi.

PKPD di empat rumah panjang di Sarawak iaitu Rimong anak Kilat, Rumah Panjang Asin anak Aji, Rumah Panjang Bija anak Unggang dan Rumah Panjang Undum anak Anchih, Sungai Duan di Sarawak serta di tiga lokaliti di Tawau, Sabah iaitu Kampung Pasir Putih Blok B, PPR Taman Sri Balung, Kampung Baru Pasir Putih juga ditamatkan esok (12 Jun 11.59 malam).

Berhubung tangkapan ingkar SOP seramai 828 individu ditahan semalam dan daripada jumlah itu seramai 759 individu dikompaun, 68 direman manakala seorang lagi dijamin, katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.