COVID-19: BN Perak Junjung Kasih Sultan Nazrin Shah Perkenan Lulus Peruntukan

IPOH, 11 Jun – Barisan Nasional (BN) Perak, menjunjung kasih Sultan Perak Sultan Nazrin Shah atas perkenan peruntukan dana berjumlah RM14.6 juta melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), bagi meringankan derita rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Pengerusinya Datuk Saarani Mohamad berkata, penyediaan dana khas tersebut termasuk bantuan kecemasan kelangsungan hidup berjumlah RM10.9 juta dan RM600,000 bagi tajaan peralatan kesihatan serta perubatan diperlukan segera Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak, adalah manifestasi kepekaan Baginda terhadap impak yang ditanggung rakyat, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, Baginda sejak awal lagi begitu prihatin terhadap kesiapsiagaan kerajaan negeri dalam menghadapi pandemik COVID-19, dengan mengikuti rapat perkembangan langkah yang diambil bagi membendung penularan wabak berkenaan termasuk aspek pemberian vaksin kepada rakyat.

“Mewakili seluruh jentera pentadbiran dan rakyat jelata, saya merafakkan setinggi-tinggi penghargaan ke atas keprihatian yang amat berat baginda Tuanku terhadap nasib golongan asnaf, keluarga miskin dan mereka yang hilang mata pencarian, susulan pelaksanaan PKP.

“Titah Baginda supaya bantuan turut disalurkan kepada petugas barisan hadapan membuktikan penghargaan baginda terhadap pengorbanan dan segala kerja keras pasukan perubatan dan keselamatan sepanjang berlakunya pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Yang Dipertua MAIPk Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata Sultan Nazrin turut memperkenankan agar MAIPk menyediakan tajaan peralatan rawatan dan perubatan yang diperlukan segera Jabatan Kesihatan Perak bagi kegunaan petugas medan di barisan hadapan bernilai RM606,000.
Beliau berkata sebanyak RM400,000 juga akan disumbangkan kepada petugas barisan hadapan COVID-19 yang akan disalurkan melalui agensi-agensi berkaitan untuk keperluan kebajikan petugas barisan hadapan.

“Dana khas ini turut menyediakan bantuan pakej tablet dan data Internet untuk usahawan dalam kalangan asnaf, bagi menjalankan perniagaan secara dalam talian dan kepada pelajar tingkatan lima dalam kalangan ketua isi rumah fakir dan miskin yang berjumlah RM1.5 juta.

“Selain itu, untuk mahasiswa dan mahasiswi negeri Perak yang sedang berada di luar negara seperti di Mesir, Jordan, Indonesia dan lain-lain negara, Bantuan Kebajikan Pelajar Luar Negara turut disediakan dengan peruntukan sebanyak RM200,000,” katanya.

Mohd Annuar berkata, dana khas itu turut menyediakan bantuan berjumlah RM400,000 bagi pusat jagaan anak yatim, rumah orang tua dan warga emas Islam, tajaan bekalan makanan institusi pendidikan dan sumbangan kepada pusat gelandangan sementara di bawah kendalian kerajaan negeri Perak, dengan masing-masing berjumlah RM200,000. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.