SPM 2020: GPN 4.80, Pencapaian Terbaik Dalam Tempoh Lima Tahun

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.80, adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, pencapaian pada 2019 adalah 4.86 manakala 4.89 pada 2018, 4.90 (2017) dan 5.05 (2016).

“Data ini menunjukkan pencapaian calon adalah lebih tinggi pada tahun 2020 berbanding tahun 2019. Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik. Analisa ini adalah berdasarkan calon yang mendaftar kali pertama sekurang-kurangnya enam mata pelajaran dan menduduki sekurang-kurangnya satu mata pelajaran.

“Trend GPN untuk 2016 hingga 2020 menunjukkan, tahun 2020 adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun,” katanya ketika pengumuman analisis keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2020 yang diadakan secara maya hari ini.

Dari segi jurang pencapaian mengikut lokasi beliau berkata, jurang pencapaian antara calon bandar dan luar bandar mengecil kepada 0.38 pada 2020 berbanding 0.44 pada 2019.

Radzi berkata, pencapaian calon di bandar dan luar bandar pada tahun 2020 mencatatkan peningkatan berbanding tahun 2019, namun peningkatan pencapaian calon luar bandar adalah lebih tinggi berbanding calon di bandar.

Beliau berkata, pencapaian calon di bandar pada tahun 2020 adalah 4.68 berbanding 4.70 pada 2019, manakala pencapaian calon luar bandar meningkat kepada 5.06 pada tahun 2020, berbanding 5.14 pada 2019.

Dari segi prestasi mata pelajaran, beliau berkata keputusan peperiksaan SPM 2020 menunjukkan sebanyak 43 mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi, 39 mata pelajaran mencatatkan penurunan, manakala satu mata pelajaran kekal daripada keseluruhan 83 mata pelajaran.

“Bagi prestasi mata pelajaran teras, mata pelajaran Matematik, Sains, Sejarah, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral, mencatatkan peningkatan prestasi pada tahun 2020 manakala Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pula merekodkan penurunan prestasi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pada tahun 2020, peratus calon yang layak menerima sijil SPM meningkat sebanyak 1.96 peratus iaitu 88.68 peratus berbanding 86.72 peratus pada 2019.

Katanya calon berkeperluan khas (CBK) yang layak menerima sijil SPM pada tahun 2020 juga meningkat kepada 68.22 peratus, berbanding 61.34 peratus pada 2019.

Ditanya mengenai faktor peningkatan GPN dan jurang pencapaian antara bandar dan luar bandar yang mengecil, beliau berkata kementerian akan membuat analisa mendalam dan meneliti setiap aspek yang mempengaruhi keputusan SPM ini.

Beliau berkata, analisa ini juga akan melihat secara keseluruhan keputusan peperiksaan itu, termasuk bagi sesi pertama SPM dan sesi kedua.

Sementara itu, Radzi berkata keputusan dan slip keputusan SPM boleh diakses hari ini bermula 10 pagi, secara dalam talian di pautan myresult1.moe.gov.my dan myresult2.moe.gov.my.

Ditanya mengenai calon yang tidak mempunyai akses internet untuk mendapatkan keputusan, beliau berkata pihak sekolah telah berbincang dengan calon-calon berkenaan mengenai kaedah terbaik bagi mereka mendapatkan keputusan.

Beliau berkata, pihak Kementerian Pendidikan (KPM) menjangkakan calon terbabit akan mendapat keputusan secepat mungkin, susulan inisiatif kementerian yang telah mengarahkan pihak sekolah menghubungi semua calon terlibat, bagi membincangkan kaedah calon mendapatkan keputusan SPM.

Menurutnya slip keputusan rasmi peperiksaan SPM boleh dimuat turun pada 14 Jun di pautan myresult3.moe.gov.my, manakala sijil SPM akan diedar secara berperingkat mulai 10 Julai depan.

“Kaedah pengedaran sijil SPM adalah bergantung pada situasi pada waktu tersebut. Pihak sekolah dan KPM akan jelaskan pada calon-calon tentang kaedah untuk mereka mengambil sijil ‘hard copy’ (salinan cetak) tersebut,” katanya.

Menjawab soalan sekiranya berlaku kesesakan semasa pelajar mengakses pautan itu, Radzi berkata pihaknya telah melakukan yang terbaik dan menasihatkan sama ada pelajar atau hanya seorang ibu bapa yang membuat semakan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.