PKPD Di Beberapa Lokaliti Di Lima Negeri – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti di Pahang, Johor, Sabah, Sarawak dan Terengganu selama dua minggu bermula Sabtu ini bagi membendung penularan COVID-19 di lokaliti berkenaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan PKPD itu melibatkan tiga taman perumahan di Temerloh, Pahang iaitu Taman Temerloh Jaya, Taman Temerloh Jaya Indah dan Taman Temerloh Makmur, serta Ladang Tereh Mill di Kluang, Johor.

Dalam tempoh sama juga, Ismail Sabri berkata PKPD turut dilaksanakan di Lorong Pasir Putih 1, Taman Pasir Putih Fasa 1 di Putatan, Sabah; Kampung Kolong 2 di Kuching, Sarawak; serta Kampung Tajin, Kuala Berang di Hulu Terengganu, Terengganu.

“SOP bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini. Maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my,” katanya dalam kenyataan mengenai PKP, hari ini.

Sementara itu, lima lokaliti akan ditamatkan PKPD pada tengah malam esok iaitu Mukim Kuala Berang, Hulu Terengganu, Terengganu; Mukim Sitiawan, Manjung, Perak; Kampung Mook, Kinarut, Papar, Sabah; Kampung Baru Durok, Keningau, Sabah; dan Kampung Sungai Langgas di Kunak, Sabah.

Ismail Sabri turut memaklumkan kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh sekatan tambahan bagi kemasukan pengembara ke Labuan bermula hari ini hingga 30 Jun.

Sementara itu, dalam memastikan semua pihak terutama pemain industri dan perkilangan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang PKP 3.0, beliau berkata kerajaan telah meningkatkan operasi pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melanggar SOP.

Langkah itu dikuatkuasakan susulan kerajaan menerima banyak aduan berkaitan industri dan premis perniagaan yang tiada dalam senarai perkhidmatan perlu beroperasi sepanjang tempoh PKP ketika ini.

“Sejak 1 sehingga 9 Jun 2021, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melakukan pemeriksaan ke atas 268 buah kilang bagi memastikan tiada pelanggaran SOP dan daripada jumlah itu, sebanyak 75 buah kilang dikenakan kompaun manakala 59 lagi diarahkan tutup,” katanya.

Mengenai operasi pematuhan pula, beliau berkata 907 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dengan 877 daripadanya dikompaun, 28 direman manakala dua lagi dijamin.

Kesalahan tidak memakai pelitup muka menjadi kesalahan tertinggi direkodkan iaitu sebanyak 208 kes; gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (148), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran serta makan di premis (147); tiada penjarakan fizikal (123); tidak patuh arahan kawalan pergerakan (81); membawa penumpang berlebihan (79); aktiviti pusat hiburan (28) dan premis gagal patuhi arahan (10) serta lain-lain kesalahan (83). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.