Kerajaan Negeri Perak Bantu Salur Keperluan Penduduk Kawasan PKPD
Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata, langkah itu diambil supaya tidak ada penduduk yang tidak terputus bekalan makanan dan seterusnya jatuh sakit.
Katanya, bantuan barangan asas seperti beras, gula, tepung dan minyak, diberikan kepada mereka yang betul-betul terkesan.
“Kita juga akan memberikan seekor ayam dan sardin selepas ini, namun penduduk kena faham kita tidak dapat berikan kepada semua keluarga, kerana ada penduduk yang mempunyai kemampuan kewangan yang boleh membelinya di kedai runcit di sini, atau meminta pekedai menghantar barangan kepada mereka.
“Di sini ada kemudahan kedai runcit, berbanding dengan tempat lain yang dikenakan PKPD memerlukan bantuan barangan keperluan, kerana tidak ada kedai di buka,” katanya ketika ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Taman Berkat di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan bersimpati dengan penduduk yang dikenakan PKPD dan memohon mereka duduk di rumah, serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memutuskan rantaian COVID-19.
“Mereka hendaklah bersabar dalam tempoh dua minggu ini dan kita faham keadaan mereka yang tidak dibenarkan keluar,” katanya.
Dalam pada itu Saarani berkata, mana-mana sukarelawan dan pihak yang mahu memberikan sumbangan kepada penduduk di kawasan PKPD, dikehendaki menyerahkan sumbangan kepada PKOB dan tidak dibenarkan untuk menghantar barangan terus kepada penduduk.
PKPD di Perak melibatkan daerah Kinta, Kerian, Manjung, Larut, Matang dan Selama serta Hulu Perak yang dikuatkuasakan dari 6 hingga 19 Jun.
PKPD di daerah Kinta melibatkan Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2, Mukim Ulu Kinta; Kerian (Taman Kerian Tambahan, Parit Buntar) manakala daerah Manjung membabitkan tiga perkampungan di Batu 9 Lekir, Mukim Lekir iaitu Kampung Tanjung Kepah, Kampung Batu 9 dan Kampung Sungai Lombong.
PKPD di daerah Larut, Matang dan Selama pula, melibatkan Taman Berkat, Mukim Matang manakala di Hulu Perak membabitkan dua kampung dalam Mukim Pengkalan Hulu iaitu Kampung Air Panas dan Kampung Kuak Luar, serta dua kampung di Mukim Kerunai iaitu Kampung Alai dan Kampung Baharu.
Saarani berkata pihaknya turut akan mengambil kira bantuan untuk kawasan PKPD yang akan dilaksanakan di Politeknik Sultan Azlan Shah, daerah Mualim bermula esok hingga 22 Jun depan. – BERNAMA