Tampil Aksi Sebenar Menentang Vietnam, Thailand – Reezal Merican

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menuntut pemain Harimau Malaya agar kembali fokus dengan menampilkan aksi sebenar bagi mengharungi baki dua perlawanan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Katanya anak buah skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu perlu bangkit daripada mimpi ngeri selepas mengalami kekalahan besar 0-4 di tangan UAE, Jumaat lepas, bagi mengembalikan keyakinan peminat yang kecewa dan mengecam persembahan pasukan kebangsaan dalam perlawanan tersebut.

Beliau berkata walaupun Harimau Malaya tewas di tangan pasukan lawan, peminat sudah semestinya akan berasa puas dan memberi pujian terhadap skuad kebangsaan sekiranya mereka mempamerkan corak permainan menarik.

“Aksi Harimau Malaya pastinya menjadi perbualan peminat, ada kalanya kalah namun aksi ditampilkan menjadi sanjungan tetapi ada juga situasi di mana pasukan tewas tetapi aksi itu tidak sampai ke tahap yang mereka ingin lihat.

“Saya tak dapat tutup perasaan rakyat melihat (prestasi) Harimau Malaya, namun saya yakin mereka (pemain) mampu menunjukkan aksi yang terbaik,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik di Kampung Pandan di sini, bagi meninjau program latihan berpusat secara kuarantin barisan atlet negara yang menyertai Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo, bulan depan.

Secara peribadi, Reezal Merican mengakui mahu melihat Harimau Malaya kembali ‘mengaum’ ketika menentang Vietnam pada 11 Jun dan Thailand (15 Jun).

Malaysia kini menduduki tempat keempat dalam Kumpulan G, berkongsi sembilan mata bersama UAE di kedudukan kedua dan Thailand (ketiga) sementara Vietnam mendahului dengan 11 mata manakala Indonesia di tempat tercorot selepas hanya mengumpul satu mata. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.