Tujuh Lokaliti Di Sabah, Empat Di Pahang Dikenakan PKPD – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Tujuh lokaliti di Sabah dan empat di Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 8 hingga 21 Jun berikutan peningkatan ketara kes positif COVID-19 dalam tempoh dua minggu di kawasan terbabit.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tujuh lokaliti yang dikenakan PKPD di Sabah ialah Kampung Ongkilan di Kota Marudu, Kampung Pulutan serta Kampung Murni C di Nabawan, Kampung Bolong Baru di Tuaran, Kampung Tamalang serta Kampung Tuguson di Kota Belud dan Kampung Bergosong di Pulau Sebatik, Tawau.

PKPD di Pahang pula melibatkan Kampung Jaya Gading dan sebahagian Kampung Seri Damai serta Bandar Baru Jaya Gading dan Kawasan Perindustrian Gebeng di Kuantan, menurutnya dalam kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD hari ini.

Beliau berkata arahan PKPD itu adalah bagi memudahkan Kementerian Kesihatan melaksanakan saringan bersasar ke atas penduduk yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan COVID-19 ke kawasan lain.

Ismail Sabri juga berkata PKPD di tujuh mukim di Kuantan, Pahang yang melibatkan Beserah, Kuala Kuantan 1, Kuala Kuantan 2, Penor, Sungai Karang, Ulu Kuantan dan Ulu Lepar serta Taman Abaka, Ladang Table, Tawau pula ditamatkan seperti dijadual hari ini.

Mengulas operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP, beliau berkata 982 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam dan daripada jumlah itu, 933 dikompaun manakala 49 direman.

Katanya kesalahan tertinggi yang direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka iaitu 222 kes. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.