Sabah Rancang Susun Semula Perkampungan Atas Air – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 5 Jun – Kerajaan negeri Sabah sedang merancang untuk menyusun semula perkampungan atas air di negeri ini bagi memberikan kediaman lebih baik kepada rakyat dan mengelak bencana seperti kebakaran, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata pelbagai aspek diambil kira dalam perancangan tersebut termasuk memastikan rumah yang lebih tersusun, persekitaran yang lebih indah serta bersih, kemudahan asas seperti elektrik dan bekalan air lebih lengkap serta kawasan kediaman yang lebih selamat.

Menurut beliau agensi kerajaan antaranya Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta agensi lain akan terlibat dalam merealisasikan hasrat itu.

“Bila berlaku musibah seperti kebakaran, usaha membantu lebih mudah digerakkan dengan adanya kemudahan asas seperti pili bomba dan rumah disusun dengan baik bagi mengelak api merebak dengan cepat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan ke perkampungan atas air di Kampung Tanjung Aru di sini, yang terlibat dalam kebakaran memusnahkan 33 buah rumah pada 25 Mei lepas.

Bung Moktar turut menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran.

Katanya, selain itu penyusunan semula perkampungan atas air itu juga penting dalam usaha mengubah taraf perkampungan daripada setinggan kepada perkampungan yang sah.

Menurut beliau isu berkenaan perlu dilihat secara keseluruhan merangkumi dasar pemilikan tanah atau hak persempadanan, kebenaran dan kawalan pembangunan.

“Kita bersimpati dan memahami musibah mereka yang kehilangan tempat tinggal, bagaimanapun saya harap mereka bersabar sementara kerajaan khususnya Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan agensi kerajaan lain yang terlibat dapat merangka serta menyusun semula kedudukan rumah-rumah di kawasan ini,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.