PKPD Di Beberapa Kawasan Di Pulau Pinang, Sabah Dan Pahang – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di Pulau Pinang, Sabah dan Pahang bermula dari 4 hingga 17 Jun ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata sejumlah 13 lokaliti sekitar Pekan Bayan Lepas, Pulau Pinang dikenakan PKPD memandangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati berlaku peningkatan kes di situ dengan 83 kes baharu dikesan dalam masa dua minggu dan keseluruhan kes setakat ini mencecah 250.

“Kawasan yang terlibat iaitu Sri Bayu; Bayu Tiara; Bayu Nyaman; Halaman Murni; Bayan Permai; Bayan Tiara; Taman Ara Indah; Kampung Bukit; Kampung Perlis; Kampung Masjid; Jalan Mahkamah; Jalan Kampung Pak Lah dan Lebuh Kampung Bukit,” katanya dalam satu kenyataan mengenai PKP dan PKPD hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri menyatakan PKPD dikenakan di Lorong Taman Utama 5 hingga 8, Taman Utama, Sandakan, Sabah setelah mendapati berlaku peningkatan ketara dalam tempoh singkat iaitu sembilan kes dicatatkan daripada 13 saringan dengan kadar positiviti 69.2 peratus.

Lokaliti lain di Sabah yang dikenakan PKPD ialah Kampung Sepagaya Hulu, Lahad Datu serta dua lokaliti dalam Daerah Kota Kinabalu iaitu Rumah Murah Kepayan dan Kampung Tanjung Aru Baru.

Dalam pada itu, beliau berkata PKPD turut dilaksanakan di empat taman perumahan di Mukim Bentong, Pahang iaitu Taman Bentong Makmur, Taman Harmoni, Taman Kolej dan Taman Desa Damai.

Sementara itu, Ismail Sabri dalam kenyataan itu lokaliti PKPD di Mukim Pekan, Kunak, Sabah diperluaskan meliputi 15 lokaliti baharu.

“Lokaliti yang terlibat ialah Bajau Laut-Palauh; Kampung Cina; Kampung Selamat; Kampung Kunak Jaya; Kampung Singgah Mata; Kampung Kunak Kecil; Kampung Bagiang dan Kampung Jaya Baru.

Selain itu, Kampung Datuk Haji Zainal Gunong; Kampung JKR Lama; Kampung Haji Mohd Noor; Kampung Pangkalan Lama; Kampung Pangkalan Laut; Kampung Sungai Atas dan Pekan Kunak,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata PKPD yang berkuat kuasa di Kampung Kunak Tiga; Kampung Kabog; Kampung Kabog Baru; Kampung Kunak Darat; Kampung Getah; Kampung Getah Tengah dan Taman Kunak Kaya di daerah itu sebelum ini terbatal dan mengikut tarikh baharu iaitu bermula 4 hingga 17 Jun ini.

Ismail Sabri mengumumkan PKPD Sekolah Menengah Ugama Pantai Manis, Papar, Sabah yang dijadualkan tamat esok dilanjutkan sehingga 17 Jun ini, manakala PKPD Universiti Teknologi Malaysia Skudai, Johor akan tamat esok seperti yang dijadualkan serta PKPD Gugusan Mendi, Bera, Pahang yang dijadualkan berakhir 11 Jun ini ditamatkan hari ini.

Mengenai operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP semalam, beliau berkata seramai 792 individu ditahan termasuk 781 daripadanya dikompaun, 10 direman manakala seorang lagi dijamin. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.