Peminjam Alami Pendapatan Berkurangan Layak Bagi Ansuran Bulanan Lebih Rendah – BNM

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Bank Negara Malaysia (BNM) pada Rabu mengulangi bahawa semua peminjam yang pendapatannya berkurangan, termasuk gaji, elaun, komisen dan pendapatan isi rumah adalah layak untuk mendapatkan pengurangan ansuran bulanan berdasarkan pendapatan yang terjejas.

BNM, dalam beberapa ciapan di Twitter menerusi akaun @BNM_official, menjelaskan bagi bantuan bayaran balik pinjaman yang baru diumumkan, golongan B40 yang juga penerima Bantuan Sara Hidup/Bantuan Prihatin Rakyat boleh memilih moratorium selama tiga bulan atau ansuran bulanan dikurangkan 50 peratus selama enam bulan.

“Peminjam individu yang hilang pekerjaan juga boleh memilih moratorium selama tiga bulan atau ansuran bulanan dikurangkan 50 peratus selama enam bulan,” menurutnya.

Bank pusat juga menambah perusahaan mikro (dengan kemudahan yang diluluskan sehingga RM150,000) serta perusahaan kecil dan sederhana yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan boleh memilih moratorium selama tiga bulan atau ansuran bulanan dikurangkan 50 peratus selama enam bulan.

BNM meminta para peminjam menghubungi bank masing-masing untuk membuat pilihan tersebut.

Layari http://bnm.gov.my/RA untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai bantuan bayaran balik pinjaman. – BERNAMA