PEMERKASA Plus Harus Menyeluruh Kepada Semua Golongan – Azhari Shaari

KUALA LUMPUR, 2 Jun – PEMERKASA Plus yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membantu rakyat Malaysia sewajarnya lebih menyeluruh, kata Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari.

Ini kerana katanya apa yang dapat disimpulkan bagi menghadapi ‘Lockdown 3.0’ kali ini bantuan menjurus kepada golongan B40 dan lain-lain golongan yang memerlukan.

“Bantuan untuk golongan tersebut memang kita alu-alukan bukan sahaja disebabkan lockdown malahan tiada lockdown pun sudah pasti golongan tersebut disantuni.

“Namun bantuan untuk golongan M40 mahupun T20 di dalam PEMERKASA Plus, golongan tersebut seolah-olah tercicir atau adakah kerajaan menganggap lockdown tidak menjadi ‘kudis’ kepada kelompok tersebut.

“Sewajarnya dalam saat getir ini moratorium automatik diberi kepada kelompok tersebut atas dasar lockdown dan memberi kesan domino kepada mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Ulasnya juga, golongan M40 juga turut sama tidak boleh ke mana-mana dengan bebas untuk mencari nafkah lebih seperti juga golongan B40 kerana bekerja dari rumah atau akur dengan arahan pihak berkuasa agar tidak ke mana-mana.

“Bukankah pandemik COVID-19 ini, sudah setahun lebih cuba dikekang namun sehingga kini masih belum usai dan M40 seperti golongan lain turut berada dalam fasa pemulihan kewangan.

“Setahun dua ini banyak yang hilang pekerjaan dan bisnes kerana patuh pada prosedur operasi standard (SOP) di bawah  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pelbagai bentuk,” tambahnya.

Seterusnya beliau menambah risiko jangkitan COVID-19 tidak memilih golongan B40 mahupun M40, samalah juga dengan risiko kehilangan pendapatan kerana pandemik tersebut mereka turut terkesan.

“Di atas kertas atau di mata kasar memang golongan M40 nampak selesa, tetapi fahamilah situasi besar nasi besarlah keraknya.

“Seharusnya kerajaan menimbang untuk memberi moratorium automatik untuk pinjaman perumahan, kereta dan lain-lain untuk beberapa bulan,” ujarnya.

Justeru, kata Azhari lagi selain itu bantuan untuk golongan bujang tidak ditambah RM100 sahaja dan kerajaan perlu bersikap realistik.

“Saat rakyat bosan di rumah dan anak-anak menjalani PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah) elok juga disajikan dengan rancangan Astro percuma dan bantuan data internet.

“Bosan juga dua minggu terperuk di rumah. Bantu mana yang patut,” tegasnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.