RM12 Juta Untuk Bantuan Bakul Makanan Kepada Orang Asli – Rahman

PUTRAJAYA, 1 Jun – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memperuntukkan RM12 juta bagi menghantar bantuan bakul makanan kepada 60,080 ketua isi rumah (KIR) masyarakat Orang Asli di seluruh negara bermula Sabtu ini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Beliau berkata bantuan bekalan makanan asas iaitu beras, minyak masak, tepung gandum, garam, gula, serbuk teh, sardin dan kicap disediakan bagi membantu masyarakat Orang Asli meneruskan kehidupan sepanjang tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

Berdasarkan rekod pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada tahun lepas, masyarakat Orang Asli turut menghadapi kesan kehilangan sumber pendapatan dan terputus bekalan makanan apabila PKP dilaksanakan.

“Jakoa berharap pelaksanaan bantuan bakul makanan ini akan membantu masyarakat Orang Asli yang terjejas sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh dan meringankan beban mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19 pada Jumaat memutuskan untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh atau total lockdown sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula hari ini.

Abdul Rahman berkata agihan bantuan akan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) iaitu melalui tok batin di setiap kampung untuk diagihkan dan dipantau oleh pegawai Jakoa daerah bagi memastikan agar bantuan ini sampai kepada setiap KIR yang berkenaan.

“Penularan wabak COVID-19 telah diisytiharkan sebagai pandemik di seluruh dunia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 12 Mac 2020. Ia menunjukkan bahawa setiap individu bertanggungjawab untuk memastikan kesejahteraan tidak terkecuali masyarakat Orang Asli di seluruh negara,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.