Perkhidmatan Pembekalan Elektrik, Pengurus Perhutanan Dan Hidupan Liar Dibenar Beroperasi – Shamsul

PUTRAJAYA, 1 Jun – Perkhidmatan pembekalan elektrik, pengurusan perhutanan, serta pengurusan hidupan liar dan kawasan perlindungan dibenarkan untuk beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, kata Menteri Tenaga Dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata aktiviti yang dibenarkan di bawah sektor pembekalan elektrik di Semenanjung dan Sabah adalah pemulihan bekalan, pembaikan kerosakan dan pengendalian sistem bekalan elektrik.

Turut dibenarkan adalah pelaksanaan projek pengukuhan sistem serta penyelenggaraan yang kritikal bagi sistem bekalan elektrik yang ditentukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), katanya.

“Aktiviti-aktiviti ini dibenarkan untuk menjamin kelangsungan perkhidmatan bekalan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19 pada Jumaat memutuskan untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula hari ini.

Shamsul Anuar berkata perkhidmatan pengguna seperti bacaan meter dan penghantaran bil fizikal di premis pelanggan juga dibenarkan beroperasi namun bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ia tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.

Operasi kedai tenaga di Semenanjung pula adalah dari 9 pagi hingga 1 tengah hari manakala Pusat Khidmat Pelanggan di Sabah tidak beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh, katanya.

“Penyambungan bekalan baharu dan pemasangan meter yang kritikal akan ditentukan oleh TNB dan SESB, umpamanya kepada fasiliti kesihatan, pusat vaksin dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata kerja pembangunan projek tenaga boleh baharu di bawah Program “Large Scale Solar” (LSS), ”Net Energy Metering” (NEM) dan “Feed-In Tariff” (FiT) adalah tidak dibenarkan kecuali projek-projek sedia ada yang perlu diteruskan bagi memastikan keselamatan awam dan keselamatan di tapak projek.

“Bagi loji jana kuasa bekalan elektrik yang bersambung ke grid termasuk loji jana kuasa mini hidro, solar, biojisim dan biogas yang telah beroperasi, hanya kerja-kerja operasi harian dibenarkan.

“Bilangan pekerja adalah digalakkan tidak melebihi 30 peratus dan had maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak 50 peratus. Bilangan pihak pengurusan hendaklah tidak melebihi 10 peratus,” katanya.

Bagi sektor pengurusan perhutanan di Semenanjung, Shamsul Anuar berkata hanya operasi penguatkuasaan dibenarkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi memastikan kawasan litupan hijau dan hutan terus terpelihara.

Selain itu, katanya hanya operasi penguatkuasaan sahaja dibenarkan beroperasi bagi sektor pengurusan hidupan liar dan kawasan perlindungan untuk terus melindungi khazanah sumber biodiversiti negara.

Beliau berkata syarikat-syarikat yang belum mendapat kelulusan rasmi daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli untuk beroperasi boleh mengemukakan permohonan melalui portal COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 yang dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.