Malaysia Bantu Pengumpul Dana Salurkan Sumbangan Kepada Rakyat Palestin

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengumumkan kempen untuk membantu rakyat Palestin di Gaza berkata Tabung Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) kini dibuka kepada lebih banyak agensi dan pertubuhan untuk membantu pengumpul dana menyalurkan sumbangan.

“Sebaik kempen mengumpul dana anda berakhir dan anda tidak pasti bagaimana untuk menyalurkan sumbangan anda ke Palestin – kami di Kementerian Luar sedia membantu.

“Melalui AAKRP, kementerian akan menyalurkan terus sumbangan kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika melancarkan kempen “HUMANITARIAN AID FUNDRAISING” untuk rakyat Palestin oleh Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) secara maya pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar, Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali, Pengerusi Kebangsaan BSMM Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim dan Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin Dr Younis Al Khatib.

Dana yang dikumpulkan BSMM akan disalurkan kepada Bulan Sabit Merah Palestin melalui AAKRP dan Hishammuddin berharap BSMM akan berjaya mencapai sasarannya untuk mengutip dana sekurang-kurangnya RM1 juta menjelang akhir bulan ini.

“Ini hanya permulaan, dan saya harap lebih banyak pertubuhan tampil untuk bekerjasama dengan kami di Kementerian bagi menyalurkan dana dengan berkesan dan selamat ke Palestin. Usaha hari ini bukan simbolik semata-mata, tetapi mencerminkan sokongan konsisten dan tekad Malaysia untuk membantu meringankan penderitaan saudara kita di Palestin,” katanya.

Beliau bagi pihak kerajaan dan kementerian mengucapkan penghargaan kepada MRCS kerana menyumbang US$30,000 kepada AAKRP dan berkata, mereka akan memadankan jumlah berkenaan bagi menggenapkan jumlah keseluruhan sebanyak US$60,000 kepada Bulan Sabit Merah Palestin.

Hishammuddin berkata susulan gencatan senjata pada 21 Mei, selepas 11 hari pertempuran berdarah, tumpuan paling utama sekarang adalah untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan secepat mungkin kepada rakyat Palestin dan membina semula Gaza.

“Sebagai contoh, Malaysia bersedia untuk terlibat dan menyokong sebarang inisiatif dengan negara rakan untuk membina semula satu-satunya makmal ujian COVID-19 di Gaza,” katanya.

Sementara itu, pada sidang media dalam talian selepas acara itu, Hishammuddin mengulangi komitmen Malaysia untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan dan negara lain dalam usaha menyelesaikan konflik Palestin dan Israel.

Pada perbincangan menerusi video dengan Menteri Luar Mesir Sameh Shoukry semalam, Hishammuddin berkata Malaysia berusaha untuk menjalin hubungan dengan semua negara di rantau ini selain menggalakkan penyelesaian politik yang berkekalan antara Palestin dan Israel.

Selain itu, Hishammuddin berkata beliau akan mendapatkan persetujuan Kabinet untuk menghadiri Forum Diplomasi Antalya di Turki pada 18 Jun sebagai mewakili suara Malaysia dalam mencari jalan penyelesaian tersebut. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.