Bung Moktar Minta Kerajaan Pusat Beri Kebenaran Dapatkan Bekalan Vaksin Untuk Sabah

KOTA KINABALU, 1 Jun – Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta kerajaan Persekutuan memberi kebenaran kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan bekalan vaksin daripada Pharmaniaga sebagai usaha mempercepatkan proses vaksinasi COVID-19 di negeri ini.

Beliau berkata langkah itu juga membolehkan pihak swasta membeli vaksin dan sekali gus membantu kerajaan menjayakan program imunisasi secara menyeluruh.

“Sabah mempunyai 3.89 juta penduduk, namun hanya lebih 130,000 orang sahaja yang baru menerima suntikan vaksin. Ini bermakna masih ramai rakyat terdedah dengan serangan COVID-19.

“Justeru, saya selaku pemimpin Sabah meminta kepada kerajaan Persekutuan membekalkan negeri Sabah dengan vaksin melalui Pharmaniaga,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Proses pemberian vaksin kepada rakyat juga seharusnya dipermudahkan bagi memastikan lebih ramai rakyat menerimanya termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman, katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.