PKPD Di Beberapa Lokaliti Di Perak, Pahang, Sabah Dan Sarawak Mulai 2 Jun

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Beberapa lokaliti di Perak, Pahang, Sabah dan Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 2 hingga 15 Jun ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata PKPD itu melibatkan kawasan Felda Trolak Utara, Mukim Sungkai dekat Batang Padang, Perak; serta Kampung Pagi, Ulu Tembeling dekat Jerantut, Pahang; dan 11 rumah panjang serta Sekolah Kebangsaan Stalon di Stalon dekat Tanjung Manis, Sarawak.

Di Sabah, kawasan terlibat adalah Kampung Kuala Menggatal di Kota Kinabalu serta Jalan Klias 2 dan 3, Kampung Klias Baru di Beaufort.

“Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat peningkatan kes COVID-19 yang mendadak dengan kadar kebolehjangkitan tinggi di lokaliti terlibat.

“Pelaksanaan PKPD ini bagi mengawal pergerakan penduduk di lokaliti ini dan memudahkan KKM melaksanakan pengesanan awal kes positif sekali gus memutuskan rangkaian jangkitan di kawasan ini daripada menular ke lokaliti lain,” katanya dalam kenyataan mengenai PKP hari ini.

Sementara itu, PKPD di 28 mukim di Kota Setar, Kedah yang dijadual tamat esok, dilanjutkan mulai 2 sehingga 15 Jun berikutan masih terdapat penularan berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan terlibat.

Ismail Sabri turut memaklumkan PKPD di Kampung Pauh Lima, Mukim Banggu dan Kampung Pauh Lima, Mukim Gunong di Bachok, Kelantan ditamatkan hari ini, iaitu sehari lebih awal daripada yang dijadualkan selepas tiada lagi sampel menunggu keputusan dan tiada kes baharu direkodkan sejak 29 Mei.

Mengenai operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP, beliau berkata seramai 754 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dengan 746 daripadanya dikompaun manakala lapan direman, semalam.

“Bagi Ops Benteng semalam, 38 pendatang tanpa izin ditangkap dan tujuh kenderaan darat dirampas,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.