PAU 2020: Satu Pasukan, Satu Suara, Satu Hasrat Ke Arah Perkasakan UMNO – Azmi Amir
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Pemimpin akar umbi UMNO rata-rata ingin melihat kesepaduan serta muafakat yang jitu menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU)2020 pada Sabtu dan Ahad ini dalam usaha memperkasakan parti bagi mendepani cabaran dan gelombang politik semasa tanah air.
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Mohammad Azmi Amir Hussin berpendapat inilah masa yang terbaik bagi seluruh anggota UMNO menterjemahkan solidariti pelbagai peringkat dengan meletakkan institusi UMNO sebagai wadah perjuangan.
“Rapatkan saf selesaikan cara baik setiap isu yang sering menjadi pertelagahan kebelakangan ini. PAU adalah satu medan kita menyuarakan hasrat dan membawa suara akar umbi bagi menjamin masa depan parti.
“Ingatlah… UMNO parti yang bersistem dan berpelembagaan. Suara akar umbi harus dijadikan keutamaan dalam menentukan dasar parti kelak. Jadikan PAU kali ini tempat kita memperkukuhkan hubungan sesama kita agar kita dapat menggembleng kekuatan kita sebagai satu pasukan, satu suara dan satu hasrat.
“Akar umbi sangat gusar dengan percanggahan pendapat beberapa pemimpin parti sejak kebelakangan ini. Kerana jika perkara ini berterusan yang akan rugi adalah parti dan perjuangannya. Tumpuan harus diberikan kepada kekuatan UMNO sendiri kerana setakat ini tidak ada jaminan tentang hubungan UMNO dengan parti lain.
“Kita tidak tahu apa akan terjadi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) kelak. Jangan kita bertelagah hanya kerana keinginan parti lain. Fokus kepada membina kekuatan parti UMNO. Teruskan mengangkat suara dan permasalahan rakyat,” katanya kepada UMNO Online, di sini hari ini.
Tambah Azmi lagi, perhimpunan agung ini boleh dikatakan yang terakhir sebelum PRU kelak, maka ia mesti digunakan ianya sebagai medan untuk memperkukuhkan parti dari segala arah, memperkuatkan gerak kerja parti dan menginsafi diri setelah dihukum rakyat pada PRU lalu.
“Jika UMNO masih bernostalgia cara lama lagi tidak mustahil kita akan ditolak sekali lagi pada PRU yang mendatang.
“UMNO perlu ingat… UMNO tidak akan berkuasa semula jika hanya mendengar suara ahli UMNO sahaja dan hanya menjadi pembela kepada pemimpin-pemimpin UMNO sahaja. Rakyat di luar sana sedang menilai adakah UMNO ini memperjuangkan rakyat ataupun hanya pada parti UMNO saja,” katanya lagi.
Ujar Azmi lagi, para perwakilan UMNO jadikanlah peluang ini untuk menyatakan teguran yang membina.
“Teguran yang bertujuan untuk meletakkan parti ke landasan menuju kegemilangan parti. Terimalah teguran dengan hati yang terbuka untuk masa depan parti yang dicintai ini.
“Kami akar umbi kekal setia walau apa pun yang terjadi kerana kesetiaan kami tidak pernah berganjak daripada dulu,kini dan selamanya,” tegasnya – UMNO Online