PAU 2020: Perwakilan Mula Mendaftar, Semangat Ahli UMNO Tidak Pernah Luntur
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang akan diadakan pada Sabtu dan Ahad ini merupakan detik yang ditunggu-tunggu oleh semua ahli sama ada dari akar umbi sehingga kepimpinan dan juga rakyat negara ini.
Walaupun PAU 2020 berlainan dari perhimpunan terdahulu kerana wabak pandemik COVID-19 dan suasana norma baharu namun ia tidak mematahkan semangat ahli UMNO.
Tinjauan UMNO-Online mendapati rata-rata dari kalangan perwakilan UMNO merasa amat teruja kerana dapat menghadiri PAU bagi tahun ini.
Bagi Naib Ketua Pemuda Cawangan Indah Ria, UMNO Bahagian Kepong, Anjumudeen Ibrahim, tahun ini PAU 2020 berbeza dari tahun-tahun sebelumnya tetapi perwakilan tetap datang dengan penuh semangat untuk memperjuangkan UMNO.
“Walaupun tahun ini berbeza dari tahun-tahun sebelum itu, namun semangat ahli UMNO tidak pernah luntur dan bersemangat tinggi bagi meneruskan perjuangan UMNO walaupun ramai yang tidak dapat hadir.
“Perwakilan yang hadir di bahagian masing-masing akan melihat perhimpunan agung ini dijalankan secara maya dan mereka tidak putus semangat serta ingin tahu perkembangan UMNO,” katanya kepada UMNO Online, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Setiausaha Kerja Wanita Selangor, Habibah Ismail menjelaskan tentunya pada perhimpunan agung tahun perbezaan amat dirasai kerana kebiasaan Wanita UMNO akan membanjiri setiap penjuru PWTC untuk memeriahkannya.
“Biasanya Wanita UMNO memenuhi pekarangan aras dua PWTC, tetapi tahun ini nampaknya agak lengang sebab kita perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), namun ia tidak mematahkan semangat kita yang tidak pernah luntur. Semangat Wanita UMNO tetap kental dan terus membara.
“Harapan kita terus bersemangat dan berkerja untuk parti… insya-Allah kita akan dapat memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha Kerja Pemuda UMNO Sabah, Abdel Fatthee Hasan mengharapkan agar perwakilan dapat mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
“PAU kali ini memang ada banyak kelainan kerana sebelum ini kehadiran perwakilan yang ramai tetapi kini hanya dibenarkan cuma enam orang setiap bahagian dan mengikuti SOP yang ketat.
“Ini adalah langkah bijak pimpinan UMNO lakukan. Saya cukup bersetuju dengan cara ini selagi kita tidak dapat selesai meratakan pandemik COVID-19, jadi ia tidak ada masalah untuk kita mengadakan persidangan dengan cara ini,” tegasnya lagi. – UMNO Online
Oleh: Amin Adnan