Bahang Perhimpunan Agung UMNO 2020 ‘New Normal’ Mula Dirasai

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Menjelang seminggu sahaja lagi Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang bakal berlangsung pada 27 dan 28 Mac ini, bahangnya mula dirasai biarpun perhimpunan berkenaan diadakan secara norma baharu iaitu secara bersemuka dan maya di seluruh negara ekoran pandemik COVID-19 yang melanda dunia dan negara.

Bagi kakitangan UMNO, Datuk Shahrul Azuwar Abdul Aziz,  sudah pasti perhimpunan pada kali ini akan mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila diadakan secara ‘new normal’ yang pasti satu pengalaman baru kepada semua.

“Hari ini diadakan raptai dan penglibatan kakitangan cukup baik dan hakikatnya dilihat sama macam yang lepas-lepas malah saya percaya semangat seluruh kakitangan cukup baik dan berkobar-kobar untuk menjalankan tanggungjawab sempena Perhimpunan Agung UMNO pada 27 dan 28 nanti.

“Walaupun nampak ketat dengan segala peraturan dan segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) insya-Allah kita akan memastikan ianya dipatuhi kelak.

“Akhirnya saya juga mengharapkan semangat ahli-ahli UMNO khususnya pimpinan kita terus kental untuk terus berjuang bersama-sama kerana inilah medan terbaik untuk kita membangkitkan semangat kepada seluruh ahli-ahli UMNO bahawa kita bersedia sepenuhnya selaras dengan cogankata parti Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Hari ini UMNO mengadakan raptai Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang akan diadakan pada 27 dan 28 Mac depan dengan normal baharu iaitu secara bersemuka dan secara maya yang membabitkan 190 bahagian.

Sementara itu, Pegawai Kanan Sabil 1 Mohd Norazmi Abd Rahman  yang turut sama pada sesi raptai pagi tadi turut melahirkan perasaan yang sama dan paling penting tentunya Skuad Sabil mempunyai sedikit kelainan penekanan pada perhimpunan kali ini.

Katanya selain soal keselamatan yang tentunya menjadi tunjang utama bersama agensi keselamatan yang lain khususnya pihak keselamatan kompleks Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), penekanan lain adalah pematuhan SOP yang sudah tentunya akan dititikberatkan sepanjang perjalanan perhimpunan yang akan berlangsung selama dua hari iaitu pada Sabtu dan Ahad depan.

“Skuad Sabil akan bertugas sepanjang Perhimpunan Agung UMNO dan akan memberi penekanan kepada pematuhan SOP yang telah ditetapkan. Itu yang pertama dan keduanya kita harapkan kerjasama semua perwakilan yang hadir dapat memberikan kerjasama yang sebaik yang mungkin dalam membantu skuad Sabil dalam usaha untuk mengawal pematuhan SOP dan sebagainya.

“Kita mengharapkan dengan bantuan yang sedikit ini ianya akan dapat melicinkan lagi perjalanan perhimpunan pada kali ini dan secara peribadi bersyukur diberikan peluang sekali lagi untuk bersama-sama dan ianya adalah satu penghargaan untuk berkhidmat bersama-sama dalam parti keramat orang Melayu,” ujarnya.

Sementara itu Pegawai Keselamatan PWTC, Shahrul Azmi Mohd Nasir berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak yang melibatkan soal-soal keselamatan sepanjang Perhimpunan Agung UMNO 2020 berlangsung.

Beliau yang turut serta pada raptai perjalanan perhimpunan agung pagi tadi menjelaskan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Agensi Pertahanan Awam dan pelbagai pihak lain khususnya Skuad Sabil saling bekerjasama dalam aspek keselamatan.

“Kita lebih tekankan kepada soal keselamatan…APM, DBKL, pihak berkuasa polis dan sebagainya… JPA tingkat 1 turut menyediakan ambulans…soal trafik di luar serta keselamatan-keselamatan lain insya-Allah semuanya dah disusun dan tidak perlu gusar.

“Begitu juga soal pematuhan SOP…Selagi kita ikut SOP tidak ada masalah. Kita tunjukkan kepada umum bahawa kita ikut SOP. Pengimbas suhu, Mysejahtera dan segala-galanya amat dititiberatkan dan insya-Allah kita ikut SOP yang digariskan,” tambahnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.