Lima LRA Di Kedah Dinaik Taraf Tahun Depan – Exco

ALOR SETAR, 16 Nov – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini diberitahu projek menaik taraf lima loji rawatan air (LRA) di negeri itu yang diluluskan pada 2017 dijangka dilaksanakan pada tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri Datuk Suraya Yaacob berkata kesemua projek tersebut telah melalui proses penilaian tender pada 27 Okt lepas.

“Projek-projek menaik taraf loji rawatan air di negeri Kedah telah mengambil masa yang agak panjang disebabkan beberapa faktor perubahan dasar oleh pihak kerajaan,” katanya menjawab soalan Mohd Azam Abd Samat (PAS-Sungai Limau).

Mohd Azam ingin tahu halangan pelaksanaan projek menaik taraf lima LRA itu dan langkah kerajaan untuk menyelesaikan isu berkenaan serta tarikh projek tersebut akan bermula.

Lima LRA itu ialah Pelubang, Bukit Selambau, Sungai Limau, Jenun Baru dan Lubuk Buntar Lama.

Suraya berkata pelaksanaan menaik taraf lima LRA itu akan meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat dan meningkatkan keberkesanan sistem pengagihan air terawat di negeri tersebut.

“Berdasarkan kepada unjuran permintaan air terawat di negeri Kedah, dengan siapnya lima LRA ini akan meningkatkan Rizab Margin Bekalan Air kepada 10 peratus,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan telah merancang keperluan air untuk memenuhi keperluan industri bagi projek berimpak tinggi seperti Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam dan Projek Kedah Rubber City (KRC) dekat Padang Terap.

“Ini terbukti hasil daripada permohonan kerajaan negeri, kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan bagi membina satu lagi LRA di Kubang Pasu untuk menampung keperluan domestik dan industri di kawasan SBEZ berjumlah lebih kurang RM350 juta,” katanya.

Katanya, pelaksanaan naik taraf LRA Pelubang juga akan mengurangkan kebergantungan bekalan air daripada LRA Padang Sanai di Kubang Pasu ketika ini, sekali gus meningkatkan keberkesanan sistem pengagihan air terawat di daerah Padang Terap termasuk untuk projek KRC. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.