Pemuda UMNO Besut Anjur Program Makanan Infaq

BESUT, 15 Nov – Orang ramai ditawarkan makanan tengah hari percuma di beberapa gerai terpilih di sini melalui program Makanan Infaq anjuran Pemuda UMNO Bahagian Besut bagi meringankan beban masyarakat yang terkesan dengan penularan pandemik COVID-19.

Penyelaras program Mohd Rozaini Mohd Rasli berkata dua kedai makanan dipilih menyertai program makan percuma selama tiga kali seminggu itu iaitu Warung Nadzri di Jerteh, kedai makan CK Ikan dan Ayam Bakar di Pekan Baru, Kuala Besut.

“Orang ramai boleh datang menikmati makan tengah hari di kedai-kedai tersebut bermula jam 12 tengah hari sehingga 2.30 petang pada setiap Ahad, Selasa dan Khamis,” katanya yang ditemui pemberita di Warung Nadzri, di sini, hari ini.

Warung Nadzri yang terletak di hadapan Balai Polis Trafik Besut di Bandar Jerteh menyediakan nasi putih bersama pelbagai lauk-pauk dan air secara percuma sejak 11 Okt lalu, manakala kedai makan CK Ikan dan Ayam Bakar di Pekan Baru menyertai program itu mulai hari ini.

Mohd Rozaini, yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Besut, berkata, orang ramai yang berkunjung ke kedua-dua kedai tersebut pada waktu yang ditetapkan itu hanya perlu mengambil kupon yang disediakan, kemudian diserahkan kepada pemilik kedai.

Katanya, pada peringkat awal program ini dilaksanakan, pihaknya hanya memperuntukkan makanan percuma untuk 40 orang sahaja dengan nilai makanan RM5 seorang.

“Namun memandangkan sambutan menggalakkan dan ramai pihak yang bermurah hati menghulurkan sumbangan membiayai program ini, maka sekarang kita tidak hadkan jumlah pengunjung asalkan mereka datang pada waktu ditetapkan.

“Kami juga tidak meletakkan tempoh masa bila program ini akan berakhir dan ia akan berterusan sekiranya mendapat sambutan dan mempunyai sumber kewangan,” katanya.

Sementara itu, pemilik Warung Nadzri, Roseita Hussin, 55 berkata beliau bersyukur kerana warungnya dipilih menyertai program tersebut kerana ia bukan sahaja membantu mengurangkan beban orang ramai tetapi juga memberi rezeki buatnya.

“Menu yang disediakan pada hari tersebut sama dengan menu yang dijual pada hari biasa dan pengunjung boleh memilih pelbagai jenis lauk-pauk mengikut selera mereka berdasarkan bajet yang ditetapkan untuk setiap orang.

“Antara menu lauk-pauk yang disediakan adalah gulai kuning ikan masin, ikan goreng, ayam masak merah, gulai ayam dan pelbagai lagi,” katanya yang berniaga di situ sejak 30 tahun lalu. – BERNAMA