Tiada Keperluan Ketatkan SOP Rentas Negeri Ketika Ini – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Prosedur operasi standard (SOP) pergerakan merentas negeri yang hanya membenarkan perjalanan bagi urusan bekerja dan hal-hal kecemasan, dilihat sudah memadai ketika ini.

Justeru, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata belum ada keperluan untuk mengetatkan SOP pergerakan rentas negeri yang berkuat kuasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Jelasnya, kebenaran rentas negeri hanya untuk mereka yang terpaksa hadir ke pejabat dan bagi mengurangkan pergerakan serta interaksi dalam kalangan masyarakat, selain arahan bekerja dari rumah telahpun berkuat kuasa mulai 22 Okt lepas.

“Sektor awam kita dah kurangkan jumlah kehadiran petugas di pejabat, namun untuk sektor ekonomi dan industri, kita benarkan petugas rentas negeri untuk bekerja termasuk bahagian penghantaran produk mereka.

“Selagi masih berkuat kuasa kebenaran rentas negeri untuk urusan bekerja, selagi itu kita tidak boleh ketatkan SOP rentas negeri,” katanya pada sidang media mengenai perlaksanaan PKP Pemulihan di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Mengenai perayaan Hari Deepavali yang akan disambut esok, Ismail Sabri berkata pihak berkuasa akan melakukan rondaan di kawasan perumahan dan perkampungan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP yang ditetapkan.

Jelasnya di kawasan PKPD, hanya keluarga dalam satu rumah boleh meraikan secara bersama sementara di kawasan PKPB, jiran terdekat turut dibenarkan dengan syarat tidak melebihi 20 orang dalam satu-satu masa.

Bagi upacara sembahyang di kuil, hanya 30 orang ditetapkan dalam satu-satu masa mengikut keluasan kuil dengan mematuhi penjarakan fizikal serta upacara sembahyang dibahagikan kepada lima sesi dan bermula dari 7 pagi sehingga 12 tengah hari.

“Saya ingatkan SOP sempena perayaan adalah sama seperti Hari Raya Aidilfitri, jadi saya tak mahu ada pihak tertentu kata kita beri tekanan dan menyusahkan waktu sambutan Hari Deepavali dengan menyekat pergerakan.

“Kita tidak membezakan antara kaum dan agama untuk perkenal SOP kerana semasa Hari Raya Aidiladha, orang ramai juga terikat dengan SOP yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata polis menangkap 379 individu ingkar PKP semalam, sementara 27 pendatang tanpa izin dan seorang tekong ditahan dalam Op Benteng. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.