Belanjawan 2021: ‘Rumah Sudah Siap Tetapi Pahat Tetap Berbunyi’- Rizalman

KUALA LUMPUR, 10 Nov – Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar melihat selepas empat hari Belanjawan 2021 dibentangkan ianya seperti ‘rumah sudah siap tetapi pahat tetap berbunyi’.

Katanya, jumlah peruntukan yang ditawarkan sangat besar tetapi masih tidak memenuhi kemahuan sebilangan besar rakyat Malaysia.

Tambahnya juga, antara yang hangat dibincangkan oleh rakyat ialah soal pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), lanjutan moratorium dan bajet besar untuk JASA.

“Saya yakin kemarahan rakyat bukannya kerana soal politik kepartian atau soal siapa perdana menteri. Juga bukan soal untuk memancing undi.

“Mereka lahirkan kekecewaan kerana mereka sedang menghadapi kesusahan. Mereka perlukan kewangan tambahan untuk meneruskan kehidupan.

“Mereka perlukan pertolongan untuk menyara keluarga. Mereka hilang pendapatan. Mereka benar-benar terhimpit,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah Rizalman lagi, situasi yang berlaku itu bukan atas kemahuan rakyat tetapi keadaan memaksa mereka sehingga terpaksa meminta-minta.

“Mereka merayu kepada orang yang memegang kuasa,” ujarnya.

Justeru Rizalman menyeru kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar mendengar suara rakyat.

“Kepada perdana menteri, dengarlah suara mereka, bantulah mereka.

“Kasihanlah kepada mereka. Mereka yang terkesan jumlahnya sangat ramai. Mereka benar-benar berharap,” gesanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.