UMNO Utamakan Kemaslahatan Rakyat, Perjuangan Demi Masa Hadapan Negara – Zaidi

PERMATANG PAUH, 16 Okt – Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Zaidi Mohd Said berkata, UMNO perlu berani meletakkan noktah dalam setiap tuntutan dengan PPBM yang melibatkan kemaslahatan rakyat dan pendukung parti keramat ini.

Jelas beliau, ini bukan soal berlagak sebagai abang sulung atau ‘taiko’ pada ‘adik-adik’ dan rakan perjuangan tetapi tindakan tersebut amat perlu kerana rakyat sedang menilai segala tindakan UMNO.

“Sebenarnya UMNO bukan kena belajar dari kesilapan tetapi UMNO perlu belajar dari kebaikan dan kelembutan yang akhirnya memakan diri sendiri. Sebagai parti utama dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) sepatutnya dari awal UMNO telah bersuara.

“Segala tekanan pada kerajaan hari ini perlu berlandaskan prioriti untuk masa depan agama, bangsa dan tanah air. Ianya tidak harus dilihat untuk menyelamatkan mana-mana pihak. Saya amat yakin tekanan ini juga bukan kerana cita-cita peribadi mana-mana kepimpinan parti dan ini telah terbukti dengan sikap bertolak-ansur selama ini.

“Paling penting tekanan ini bukan untuk mengundang perpecahan pada kerajaan ini, tekanan ini adalah semata-mata kerana prinsip parti demi melihat kerajaan yang lebih baik di bawah gabungan PN,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Zaidi, keputusan UMNO untuk mempertimbangkan semula sokongan terhadap PN bukanlah untuk menyulitkan rakyat tetapi adalah untuk membibitkan sedikit kesedaran kepada parti PPBM.

“Itupun jika PPBM mahu mendengar agar keadilan itu perlu dirasai oleh ahli dan parti UMNO dan bukan sekadar retorik untuk menyedapkan segelintir kepimpinan UMNO dalam kerajaan hari ini.

“Sebenarnya, secara peribadi saya mendoakan agar UMNO akan terus kekal menjadi kerajaan dalam gabungan PN. Jadi, selesaikanlah segala masalah dan pasti ada penyelesaian dalam setiap masalah.

“Saya juga berharap menarik sokongan kepada PN adalah pilihan terakhir kerana pilihan ini adalah satu pilihan yang pedih, pilihan yang akan ditangisi oleh rakyat yang akan rindukan sebuah kerajaan yang mengambil berat soal hidup rakyat sebagaimana yang dipratikkan PN sejak menjadi kerajaan,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE.

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.